Ibu tunggal 'terduduk' kebun timun musnah akibat banjir

Zaharah meninjau tanaman timunnya yang ditenggelami banjir pada Ahad lepas, semasa tinjauan di Kampung Rantau Panjang pada Selasa. - Foto Bernama
Zaharah meninjau tanaman timunnya yang ditenggelami banjir pada Ahad lepas, semasa tinjauan di Kampung Rantau Panjang pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

DUNGUN - Nasib seorang ibu tunggal di Kampung Rantau Abang di sini, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila tanaman timun yang diusahakan di sebuah kebun kecil, tepi rumahnya musnah selepas dilanda banjir pada Ahad lepas.

Selain mengalami kerosakan harta benda, Zaharah Che Wan Sulaiman, 58, yang baru dibenarkan pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) pada Selasa, 'terduduk' apabila melihat kesemua pokok timun yang sudah mula mengeluarkan buah dan boleh dituai tidak lama lagi diselaputi lumpur.

"Inilah satu-satunya sumber pendapatan keluarga kami. Saya seorang ibu tunggal, tinggal di sini bersama anak yang juga ibu tunggal dan tiga cucu.

"Pokok semua rosak, kenalah buang dan tanam semula, ambil masa juga nak dapat hasil sebab nak bersihkan semua ini pun rasanya hampir sebulan. Selepas tanam, dekat dua bulan baru boleh tuai," katanya ketika ditemui Bernama di kebunnya di sini, pada Selasa.

Tanaman timun yang sudah mula mengeluarkan buah dan boleh dituai tidak lama lagi rosak akibat banjir. - Foto Bernama
Tanaman timun yang sudah mula mengeluarkan buah dan boleh dituai tidak lama lagi rosak akibat banjir. - Foto Bernama

Beliau berkata, setiap kali pusingan tanaman timunnya dalam tempoh tiga bulan, dia hanya meraih lebih kurang RM2,000 sebulan.

"Dah rosak semua tanaman, barang-barang dalam rumah pun rosak, setakat ini sajalah rezeki kami kali ini. Ada sedikit buah yang boleh dikutip, saya nak sedekah saja pada jiran-jiran, dah tak boleh jual sebab ditenggelami air," katanya.

Sementara itu, seorang lagi ibu tunggal, Che Wan Zalina Che Wan Mat Amin, 57, berkata, dia sebolehnya mahu berpindah kerana tidak sanggup lagi berhadapan dengan banjir besar, namun apakan daya ia tidak semudah difikirkan.

Artikel Berkaitan:

Afiq Mikail Jamaludin, 9, membantu neneknya, Zaharah mengutip timun yang ditenggelami banjir pada Ahad lepas, semasa tinjauan di Kampung Rantau Panjang pada Selasa. - Foto Bernama
Afiq Mikail Jamaludin, 9, membantu neneknya, Zaharah mengutip timun yang ditenggelami banjir pada Ahad lepas, semasa tinjauan di Kampung Rantau Panjang pada Selasa. - Foto Bernama

"Jika mampu memang saya nak pindah sebab dah semakin berumur, tak larat nak kemas barang-barang yang rosak seorang diri setiap kali dilanda banjir.

"Mak cik tinggal seorang diri, anak dua orang (lelaki dan perempuan) tinggal asing, bila jadi macam ini takut pula sebab banjir kali ini tak macam biasa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Jengal di sini.

Dungun merupakan antara daerah di Terengganu yang terjejas teruk akibat banjir dan rata-rata penduduk menyifatkan ia sebagai yang terburuk dalam tempoh lapan tahun kerana air naik lebih tinggi dan pantas sehingga tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing. - Bernama