Purata pendapatan bersih peneroka Felda meningkat 33 peratus

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Purata pendapatan bersih peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang menjalankan penanaman sawit meningkat kira-kira 33 peratus pada 2021 susulan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, purata pendapatan peneroka Felda bertambah daripada RM3,173 sebulan pada 2020 kepada RM4,297 sebulan tahun lepas.

"Peningkatan purata pendapatan bulanan ini berikutan kenaikan harga MSM kepada kira-kira RM4,400 satu tan pada 2021, daripada RM2,800 satu tan pada 2020,” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) yang meminta penjelasan berhubung dakwaan sesetengah peneroka Felda tidak mengalami kenaikan pendapatan selari dengan peningkatan harga MSM.

Mustapa menegaskan jumlah peningkatan pendapatan peneroka yang tidak seragam di semua kawasan Felda adalah disebabkan beberapa faktor termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang mengakibatkan aktiviti operasi ladang terpaksa dihentikan sementara waktu.

"Terdapat beberapa tanah rancangan yang mengalami tempoh PKPD yang berlanjutan sehingga melebihi 14 hari dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata selain itu, larangan kemasukan pekerja asing mulai Mac 2020 ekoran pandemik Covid-19 turut menimbulkan masalah kekurangan pekerja yang serius terutama sebagai penuai buah.

"Ini mengakibatkan pusingan menuai terpaksa dikurangkan dan terdapat banyak kes buah yang sudah masak dan tidak dituai,” katanya. Bernama

Artikel Berkaitan: