PRN Johor: Empat calon PBM jalani ujian RBTag

Muhammad Saiful (tengah), Steven Choong Shiau Yoon (kiri) dan Muhammad Hanis menjalani ujian RBTag di sebuah hotel pada Isnin.
Muhammad Saiful (tengah), Steven Choong Shiau Yoon (kiri) dan Muhammad Hanis menjalani ujian RBTag di sebuah hotel pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan kesungguhan mereka mengangkat integriti dan menghapuskan rasuah dengan menjalani ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag).

Mereka ialah Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa; Muhammad Hanis Asmui Md Salleh (DUN Maharani); Mohd Azmi Ali (DUN Tiram) dan Muhammad Saiful Bahri Sahari (DUN Stulang).

Menurut Muhammad Saiful, PBM menyokong penuh ujian RBTag dilaksanakan ke atas setiap calon pilihan raya kerana ia mampu mengukur kecenderungan tahap integriti yang menjurus kepada perlakuan salah guna kuasa dan rasuah

Naib Presiden Muda PBM itu turut mencadangkan agar ujian RBTag yang kini dilaksanakan secara sukarela diguna pakai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke atas calon pilihan raya pada masa akan datang.

"Saya menyokong penuh iltizam kepercayaan yang diberikan oleh Rasuah Busters. Banyak kebaikan daripada ujian RBTag ini yang telah pun diamalkan oleh negara-negara yang berada pada kedudukan 20 peratus berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (RCI) termasuk negara jiran, Singapura.

"Ujian RBTag ini bukanlah untuk mencari salah individu tersebut sebaliknya demi kebaikan calon tersebut," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada sesi ujian RBTag di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah RBTag Rasuah Busters, Datuk Rosmadi Ghazali berkata, selain PBM, seramai 42 calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi PRN Johor turut menduduki ujian tersebut yang dibahagikan kepada tiga sesi bermula jam 10 pagi sehingga jam 4 petang.

Katanya, ujian RBTag penting kerana boleh meningkatkan tahap kesedaran terhadap pelbagai elemen rasuah yang boleh berlaku dan terdedah dalam masyarakat pada masa ini.

Artikel Berkaitan:

"Ujian RBTag dijalankan secara profesional dan keputusan ujian adalah rahsia malah tidak akan didedahkan kepada pihak lain.

"RBTag yang dilakukan secara dalam talian merupakan soalan secara rawak melibatkan 50 hingga 100 soalan melibatkan norma-norma budaya bangsa Malaysia," katanya.

Beliau berkata, meskipun dibuat secara dalam talian, ujian tersebut tetap diadakan di dalam lab atau makmal ujian yang telah ditentukan oleh pihak pengurusan RBTag bertujuan memastikan tidak berlakunya sebarang penipuan semasa ujian berlangsung.