Rasuah 'pembunuh' senyap yang kejam

Khadijah Samdun (tengah) bersama rakan setugas daripada Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Muar ketika ditemui di Muar pada Isnin.
Khadijah Samdun (tengah) bersama rakan setugas daripada Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Muar ketika ditemui di Muar pada Isnin.
A
A
A

MUAR - Rasuah bukan jalan mencipta kesenangan sebaliknya perbuatan jijik itu merupakan langkah menuju pintu kehancuran.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Muar, Khadijah Samdun berkata, perbuatan memberi dan menerima rasuah adalah pencetus kepada detik kehancuran masa hadapan.

Menurutnya, rasuah bukan sahaja meletakkan diri pada suatu tahap yang sangat hina malah ia secara senyap 'membunuh' segala kebahagiaan yang telah dikecapi selama ini.

"Rasuah merupakan musuh kepada diri yang menyerang secara senyap. Kesannya amat pedih dan kejam.

"Sekiranya iman dan kepercayaan kepada Tuhan tidak kuat, ia mudah menjerat sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat atau darjat.

"Apa yang pasti, penyesalan tak sudah bagi mereka yang telah ditangkap dan dikenakan hukuman akibat perbuatan rasuah," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program singgah santun Konvoi #RasuahBusters di Pesta Open Air Stall, dekat sini.

Mengulas lanjut, Khadijah berkata, rasuah bukan cara membina kejayaan dan kekayaan kerana hasil daripada perbuatan itu tidak berkat.

Artikel Berkaitan:

Bekas guru itu berkata, bukan sahaja harta yang dikumpul tidak berkat bahkan rasuah juga mengakibatkan kerosakan akidah.

Jelasnya, sekiranya tidak bertaubat dan menyesali segala dosa besar yang telah dilakukan itu, api neraka adalah selayaknya berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW terhadap golongan perasuah.

Tambahnya lagi, perbuatan rasuah sebenarnya tidak membawa sebarang pengakhiran baik, sebaliknya 'menjanjikan' sebuah kehancuran yang pasti.

"Jika sekali pun tidak ditangkap atau masih hidup kaya dengan hasil rasuah, namun mereka itu tetap akan rugi di akhirat kelak.

"Tak usahlah nak terlibat dengan rasuah kerana ia satu kehancuran yang pasti. Jika tidak dibalas di atas dunia, di akhirat kelak pasti akan menerima pembalasannya," katanya.