Dua beradik gegar bumi Uganda

Kasturi dan Venosha melakar kejayaan muncul juara Uganda International Challenge 2022 pada Ahad.
Kasturi dan Venosha melakar kejayaan muncul juara Uganda International Challenge 2022 pada Ahad.
A
A
A

SELEPAS muncul naib juara Bangladesh International Challenge 2021, pasangan adik-beradik, R. Kasturi dan R. Venosha mencipta sensasi apabila melakar kejayaan muncul juara Uganda International Challenge 2022 pada Ahad.

Mereka yang diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan terlebih dahulu menafikan kemaraan pilihan utama dari Itali di peringkat separuh akhir selepas menang ke atas Katharina Fink–Yasmine Hamza 21-15, 21-17 dalam masa 29 minit.

Kemenangan itu seakan-akan menjadi tonik buat Kasturi, 21, dan Venosha, 20 apabila membuat perhitungan menentang pilihan kedua dari Itali, Martina Corsini–Judith Mair di pentas final sebelum mereka berjaya merekodkan kemenangan 21-18, 21-19 untuk muncul juara.

Pasangan yang berlatih di bawah Akademi Badminton New Vision itu juga mengulangi kejayaan muncul juara beregu wanita pada kejohanan Fleet Mauritius International 2019.

Menurut Kasturi dan Venosha, mereka amat berbangga atas kejayaan cemerlang muncul juara pada awal tahun 2022.

“Ia adalah permulaan yang baik untuk kami bagi tahun ini. Kami berharap ini bukan satu-satunya kejayaan untuk kami. Tetapi kami akan sentiasa berusaha untuk beraksi cemerlang dan muncul juara untuk kejohanan akan datang,” kata mereka.

Sementara itu, Venosha muncul naib juara dalam acara beregu campuran bersama pasangannya dari India, Senthil Vel selepas ditundukkan pasangan dari Algeria M. Koceila-M. Tanina 19-21, 21-18, 22-20 dalam tempoh 45 minit.

Bukan itu sahaja, Kasturi juga membawa pulang pingat gangsa dalam kategori perseorangan wanita apabila tewas di tangan Talia Ng dari Kanada 21-12, 21-18 pada peringkat separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan dua beradik itu sudah pasti membanggakan bapa mereka, R Radhakrishnan yang merupakan bekas pegawai Kastam Diraja Malaysia dan kini berkhidmat sebagai guru tuisyen yang mengajar subjek Matematik di Sentul.

Dalam pada itu, Malaysia turut berbangga hasil kejayaan beregu lelaki Boon Xin Yuan–Wong Tien Ci yang muncul juara selepas cemerlang menewaskan lawan mereka dari Jerman, Jones Ralfy Jansen-Jan Colin Volker dengan kemenangan 21-15, 21-14.