Pekan Rabu perintis pasar awam transaksi tanpa tunai

Muhammad Sanusi (dua dari kanan) meninjau aktiviti perniagaan semasa semasa Walkabout di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar pada petang Isnin.
Muhammad Sanusi (dua dari kanan) meninjau aktiviti perniagaan semasa semasa Walkabout di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar pada petang Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Kompleks Pekan Rabu di tengah Bandaraya Alor Setar kini menjadi perintis kepada transaksi tanpa tunai kepada pasar-pasar awam di seluruh negeri Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, premis awam di negeri ini digalakkan untuk menyahut dasar pendigitalan ekonomi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan bagi mewujudkan kehidupan masyarakat digital.

Menurutnya, transaksi pembelian tanpa tunai sepenuhnya sudahpun dilaksanakan di pasar terkemuka seperti Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan dan Pasar Payang di Kuala Terengganu, Terengganu.

"Kita hendak mempromosikan Pekan Rabu dengan pembayaran tanpa tunai.

"Aktiviti ini akan memberi kelebihan meningkatkan jualan kerana ramai pelanggan yang datang ke sini adalah dari luar Kedah seperti Lembah Klang. Mereka sudah biasa dengan pembelian tanpa tunai," katanya pada sidang akhbar pada petang Isnin.

Beliau berkata demikian selepas Program Walkabout di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar bersama Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Kedah, Wan Romani Wan Salim dan Pengurus Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad, Izahar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, transaksi tanpa tunai memberi kelebihan kepada peniaga menguruskan kewangan dengan baik selain rekod jual beli lebih teratur kerana tidak berlaku kesilapan.

Menurutnya, hanya 10 peratus daripada 300 peniaga di Pekan Rabu yang menyediakan perkhidmatan bayaran tanpa tunai dan jumlah itu dijangka bertambah menjelang tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita juga bercadang untuk menjalankan satu dasar (pembayaran tanpa tunai) mulai tahun depan dengan agensi kerajaan negeri antaranya untuk memperbaharui lesen perniagaan.

"Tapi saya perlu bincang dengan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) terlebih dahulu, kita perlu ada platform supaya orang ramai dapat melakukan pembayaran tanpa tunai," ujarnya.

Sementara itu, Izahar ketika ditemui berkata, promosi bagi memperkenalkan kaedah pembayaran tanpa tunai kepada semua peniaga di Pekan Rabu akan dilaksanakan oleh koperasi tersebut.

Jelasnya, antara kekangan yang dihadapi adalah majoriti peniaga di kompleks itu terdiri daripada mereka yang telah berusia.

"Bagaimanapun, peniaga ini dibantu oleh pembantu kedai yang lebih muda, jadi kita akan didik mereka menggunakan kaedah ini.

"Tahun depan kita jangka majoriti peniaga di sini akan menggunakan kaedah ini dan kita juga akan melakukan promosi kepada orang ramai untuk membeli di sini secara pembelian tanpa tunai," katanya.