Calon SPM harap dapat ambil peperiksaan di sekolah sendiri

Seramai 82 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Puteh menaiki trak polis untuk dipindahkan ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh Baru berikutan sekolah itu dinaiki air di sini, pada Isnin. - Foto Bernama
Seramai 82 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Puteh menaiki trak polis untuk dipindahkan ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh Baru berikutan sekolah itu dinaiki air di sini, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KEMAMAN - Beberapa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang juga mangsa banjir di daerah ini meluahkan rasa tidak seronok dan terkilan jika mereka terpaksa menumpang sekolah lain untuk menduduki peperiksaan terpenting di peringkat alam persekolahan itu.

"Tak seronok rasanya kalau nak kena ambil peperiksaan (SPM) di tempat lain, tempat peperiksaan (di sekolah asal) dah diatur siap-siap dah," kata calon SPM Faizuddin Kamarul Azmi, 18, ketika ditemui Bernama dekat sini, pada Isnin.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih itu berkata, justeru dia serta rakan-rakan sangat berharap supaya banjir segera pulih agar mereka tidak perlu menumpang di sekolah lain untuk menduduki SPM yang akan bermula 2 Mac ini.

Tengku Adila Tengku Mahadir, 18, dari Kampung Pasir Gajah pula berkata, dia dan rakan-rakan diarahkan supaya mengemaskan barang-barang untuk dipindahkan pada 10 malam tadi (Ahad) setelah paras air di kawasan sekitar SMK Air Putih semakin naik.

"Semua jadi kelam kabut sebab ingatkan tak kena pindah, saya tak ambil semua barang pun, ambil yang penting sahaja," katanya yang turut meluahkan rasa yang sama iaitu tidak mahu "menumpang” di sekolah lain pada hari peperiksaan nanti.

Sementara itu Pengetua SMK Air Putih, Muin Ismail berkata, pelajar calon SPM yang tinggal di asrama dan di rumah dipindahkan ke asrama SMK Cheneh Baru dekat sini, sehingga keadaan banjir reda bagi menghadapi sebarang kemungkinan selepas ini.

Beliau berkata, selain pelajar asrama, mereka yang dipindahkan antaranya dari Kampung Seberang Tayor, Felda Seberang Tayor, Batu 14, Kampung Tebak, Kampung Pasir Gajah dan Kampung Air Putih.

"Tak pernah berlaku pelajar pindah tempat peperiksaan (sebab banjir) di sekolah ini setakat ini, harap tak lama (dipindahkan) sebab sekolah dah siap tempat, persiapan peperiksaan dah lengkap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu tengah hari Isnin, pihak polis memindahkan seramai 82 calon SPM dari SMK Air Putih selepas sekolah itu dinaiki air, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana pada pagi ini memutuskan supaya calon SPM itu dipindahkan ke sekolah lain yang tidak terjejas banjir memandangkan kawasan sekolah tersebut telah dinaiki air kira-kira dua meter.

"Meskipun hanya 39 orang pelajar terlibat tinggal di asrama, namun kesemua calon yang tinggal di rumah turut dipindahkan berikutan laluan ke sekolah berkenaan turut dinaiki air," katanya.

Ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 akan dilaksanakan mulai 2 Mac hingga 29 Mac ini. - Bernama