'Saya ada sebab tersendiri kembali kepada UMNO' - Mohd Rawi

Mohd Rawi
Mohd Rawi
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas Exco Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid mempunyai alasan tersendiri apabila kembali menyertai UMNO berbanding memilih parti baharu.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat itu, selepas empat tahun meninggalkan UMNO, beliau masih gagal mencari parti yang benar-benar memperjuangkan agama Islam, Melayu dan negara selain UMNO.

“Ada sebab saya kembali kepada UMNO. Saya menyedari hanya parti ini sahaja yang dapat membela dan memperjuangkan untung nasib agama Islam, orang Melayu dan negara tercinta seperti dibuktikan sejarah.

“Saya juga mengambil keputusan untuk kembali kepada UMNO kerana mahu membalas jasa parti yang sebelum ini telah memberikan saya segala-galanya, sama ada jawatan dalam parti atau dalam kerajaan negeri ketika bergelar wakil rakyat,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Mohd Rawi berkata, sejak keluar daripada UMNO pada Disember 2018, beliau tidak pernah menyokong mana-mana parti lain dan hanya menyepi seketika daripada dunia politik.

“Mungkin selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), emosi saya sedikit terganggu dan memutuskan untuk keluar UMNO. Namun saya tak pernah mengkritik parti mahupun pimpinan negeri atau Pusat.

“Saya mohon beri peluang kedua, saya tak akan sekali-kali melanggari lagi sumpah setia kepada UMNO,” ujarnya.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu turut menafikan bahawa tindakannya itu dibayangi agenda tersirat seperti mahukan jawatan dalam parti atau diangkat sebagai calon PRU15.

Artikel Berkaitan:

“Saya tiada agenda peribadi mahupun tersirat, keahlian semula melalui rayuan mempunyai syarat-syarat tertentu antaranya tidak boleh pegang jawatan selama tiga tahun atau apa-apa jawatan dalam parti.

“Saya akan teruskan khidmat untuk parti dan bantu mantapkan UMNO di semua peringkat untuk berdepan PRU15. Tugas saya adalah untuk menangkan UMNO pada PRU akan datang,” katanya.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon PRU15 di Langkawi akan disokong sepenuhnya.

“Saya akan bagi sokongan sepenuh hati dan bantu kempen parti. Ini sebagai membalas jasa UMNO yang sebelum ini beri saya peluang bergiat aktif dalam politik dan beri kepercayaan kepada saya ketika itu,” katanya.

Pada Sabtu, Mohd Rawi menyerahkan borang keahlian untuk kembali menyertai UMNO kepada Setiausaha UMNO Bahagian Langkawi, Nordin Ali.

Selain Mohd Rawi, tiga lagi yang turut kembali menyertai UMNO ialah bekas Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Langkawi, Nur Aini Ahmad Ridzuan; bekas Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Padang Lalang, Abdul Razak Mohd Rafie dan Zainon Bidin.

Mengimbas kembali, Mohd Rawi memaklumkan, keputusan untuk kembali kepada parti dibuat pada 2019 selepas berjumpa bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu bercuti di Langkawi.

"Saya kemudian menulis surat rayuan pada 20 Mei 2020 dan mendapat jawapan daripada Ibu Pejabat UMNO pada 18 Januari 2021. Rayuan saya diluluskan pada Mesyuarat UMNO Bahagian Langkawi pada 18 Disember tahun lalu. Saya insaf atas kesilapan yang saya lakukan,” kata bekas ADUN Ayer Hangat selama dua penggal itu.