Pupuk minat orang muda cintai bahasa kebangsaan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MERAK Jalanan tertarik dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu, bahawa negara akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa.

Ini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan di peringkat dalam dan luar negara.

Bagi Merak Jalanan, ini merupakan satu usaha yang baik, murni dan perlu dilakukan sejak dahulu lagi.

Pun begitu, tidak terlambat untuk melaksanakan dasar itu sekarang. Biar lambat daripada tiada langsung.

Apatah lagi ketika ini, dilihat bahasa Melayu itu sendiri seperti sudah dicemari dengan bahasa-bahasa rojak, slanga yang akhirnya diterima pakai secara meluas di dalam negara kita.

Bayangkan banyak program-program dan iklan-iklan yang menggunakan bahasa rojak dan slanga.

Tujuannya adalah untuk menarik perhatian golongan muda dek kerana perkataan itu mudah difahami oleh mereka.

Diakui bahawa itu adalah strategi yang tepat dan dilihat seiring dengan peredaran masa untuk bergaul dengan golongan muda pada ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Seperti kata seorang teman, jika kita nak diterima dalam kelompok ‘itu’, kita perlu jadi mereka.

Namun, apakah nilainya pada bahasa kebangsaan itu nanti jika semuanya menggunakan bahasa rojak dan diterima sebagai satu pelan pemasaran yang berkesan semata-mata untuk menarik perhatian?

Jawapannya, semakin berkuranganlah nilai bahasa kebangsaan yang kita pelihara dan sayangi selama ini.

Justeru, Merak Jalanan berpendapat agar dapat diperkukuhkan juga penggunaan bahasa kebangsaan di dalam negara kita.

Ini kerana, kita perlu pupuk generasi pewaris mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Jika bukan mereka, siapa lagi?