Covid-19: Remaja tangguh ekspedisi keliling Malaysia

Muhammad Yusof (dua dari kanan) bersama ahli-ahli kem silat di Jalan Gombak Lama, Gombak ketika menjalankan ekspedisinya bermula awal Februari lalu.
Muhammad Yusof (dua dari kanan) bersama ahli-ahli kem silat di Jalan Gombak Lama, Gombak ketika menjalankan ekspedisinya bermula awal Februari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang remaja yang sebelum ini memulakan ekspedisi berjalan kaki mengelilingi Malaysia pada awal Februari lalu terpaksa menangguhkan rancangan tersebut buat sementara waktu berikutan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Muhammad Yusof Abdullah, 23, memaklumkan perkara tersebut kepada Sinar Harian bahawa agak berat untuknya membuat keputusan itu kerana kebiasaannya dia akan meneruskan ekspedisi walaupun ditimpa kesukaran.

Namun disebabkan kes Covid-19 yang semakin meningkat dalam negara, dia membuat keputusan untuk menamatkan ekspedisinya yang bermula 15 hari lalu di lokasi terakhirnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, Pahang pada Jumaat.

“Setakat 15 hari ekspedisi ini, saya telah melalui kawasan Ampang dan Gombak di Selangor dan Bentong di Pahang.

“Saya tamatkan (ekspedisi) jalan kaki ini atas sebab penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan, buat pertama kalinya saya menyerah kalah kerana selalunya saya tidak akan mengambil keputusan sebegini,” katanya pada Ahad.

Dalam pada itu, Muhammad Yusof turut membuat keputusan untuk pulang ke kampungnya di Tumpat, Kelantan selepas menangguhkan ekspedisinya.

Ketika ditanya kemungkinan untuk menyambung ekspedisinya semula, Muhammad Yusof berkata, dia mungkin akan berbuat demikian selepas kes Covid-19 menurun.

“Memang ada hasrat (sambung ekspedisi) tapi tidak pasti bila, mungkin hingga kes Covid-19 menurun, itu pun saya perlu lihat (keadaan) juga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada awal Februari lalu, Muhammad Yusof ingin mencabar dirinya untuk berjalan kaki sejauh 1,000 kilometer mengelilingi Malaysia menerusi satu ekspedisi yang dilakukan secara solo.

Katanya, ekspedisi kali ini akan bermula di Masjid Putra, Putrajaya selepas majlis bacaan Yasin dan doa selamat untuk dirinya.