RM5 juta untuk 87 SJKT di Selangor tahun ini - MB

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM5 juta disalurkan kepada 87 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Selangor pada tahun ini bagi meningkatkan kemudahan, infrastruktur serta pencapaian akademik dan kokurikulum murid.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM30 juta menerusi Belanjawan Selangor 2027 bagi pemantapan prasarana sekolah di seluruh negeri, termasuk SJKT.

Menurut beliau, sebanyak RM1.2 juta turut diperuntukkan bagi Pembangunan Pendidikan Masyarakat India menerusi belanjawan berkenaan.

"Peruntukan berkenaan adalah antara usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan pendidikan anak-anak masyarakat India," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Terdahulu, Menteri Besar menghadiri dua sambutan Deepavali iaitu Sambutan Deepavali Peringkat Parlimen Gombak di Dataran Sungai Tua, Selayang dan Sambutan Deepavali Dewan Undangan Negeri Rawang.

Mengulas mengenai sambutan itu, Amirudin berkata, semangat Deepavali mengingatkan masyarakat kepada pengajaran besar mengenai pertembungan antara kebaikan dengan kejahatan serta cahaya dengan kegelapan.

Beliau turut menegaskan kebebasan setiap rakyat untuk mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing mesti sentiasa dipelihara, namun perlu berjalan seiring dengan sikap saling menghormati serta kesediaan hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni.

Tambahnya, masyarakat perlu menolak segala bentuk ekstremisme yang boleh menimbulkan kebencian, memecahbelahkan masyarakat dan merosakkan keharmonian yang telah lama dibina.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!