98 PPS di Terengganu, 54 PPS di Kelantan diaktifkan

Antara rumah yang ditenggelami banjir semasa tinjauan di Kampung Lebak, Kuala Berang. -Foto Bernama
Antara rumah yang ditenggelami banjir semasa tinjauan di Kampung Lebak, Kuala Berang. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan 98 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan 54 PPS di Kelantan telah diaktifkan.

Nadma dalam kenyataannya pada Ahad berkata, berdasarkan laporan PKOB negeri Terengganu, pengaktifan PPS tersebut adalah bagi melindungi 4,600 mangsa daripada 1,435 keluarga.

“Pihak Nadma akan membuat penghantaran tambahan Kit Makanan ke PKOB Terengganu bagi melancarkan pengurusan di PPS.

“Mesyuarat turut dimaklum situasi air yang naik secara mendadak di Hulu Terengganu telah menyebabkan banyak kampung yang terputus hubungan.

“Agensi penyelamat terpaksa menggunakan bot dan lori untuk menyelamat kerana laluan sudah tidak boleh diakses kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Nadma, PKOB negeri Terengganu turut memaklumkan bahawa mangsa-mangsa yang berlindung di atas bumbung seperti yang viral di media sosial telah diselamatkan oleh pihak bomba menggunakan helikopter.

Sementara itu, ujarnya, PKOB negeri Kelantan turut melaporkan peningkatan mangsa di mana sebanyak 54 PPS telah diaktifkan.

Katanya, operasi menyelamat di beberapa lokasi di Kelantan juga hanya boleh dilakukan menggunakan lori dan bot sahaja memandangkan air telah naik lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Penduduk Kampung Tok Sudin menaiki bot sendiri untuk membeli barangan keperluan harian. -Foto Bernama
Penduduk Kampung Tok Sudin menaiki bot sendiri untuk membeli barangan keperluan harian. -Foto Bernama

“Viral di Rantau Panjang telah dibantu operasi menyelamat oleh pasukan Anggota Pertahanan Awam (APM) negeri lain.

“Hujan lebat juga telah menyebabkan PPS di Rantau Panjang dinaiki air bagaimanapun semua mangsa telah selamat dipindahkan ke PPS lain.

“Bantuan sokongan responder dan logisitk turut diterima daripada negeri dan daerah lain yang tidak terjejas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nadma berkata, PKOB negeri Pahang melaporkan tidak ada PPS yang diaktifkan setakat ini memandangkan hanya kejadian banjir kilat yang telah berlaku di beberapa lokasi.

“Terkini, Hulu Tembeling sedang berhadapan hujan lebat dan aras air di Jerantut telah melebihi paras waspada pada jam 1.30 tengah hari tadi dan trend dilaporkan menaik.

“Isu kejadian banjir di kawasan Maran, Kuala Sentul yang diviralkan merupakan insiden banjir kilat dan tindakan menghantar bantuan telah pun selesai.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberi maklum bahawa bekalan makanan masih mencukupi termasuk stok di depot negeri Terengganu dan Kelantan,” jelasnya.