Ribut petir di utara Selat Melaka bahayakan pemancing, bot kecil

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Keadaan ribut petir yang melanda di utara perairan Selat Melaka pada Ahad dan Isnin boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan pemancing dan pemilik bot-bot kecil yang berada di laut.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abdul Aziz berkata, antara negeri yang dijangka berlaku ribut petir pada Ahad ialah Pulau Pinang, Kedah dan Perlis manakala Isnin pula hanya melibatkan Kedah dan Perlis.

"Pemancing dan pemilik bot-bot kecil dinasihatkan supaya tidak turun ke laut pada hari ini dan esok kerana keadaan cuaca yang tidak menentu tetapi, sekiranya mereka sudah berada di laut carilah tempat untuk berlindung dari ribut petir dan angin kencang.

"Kita tidak mahu kejadian bot karam di Langkawi semalam berulang lagi kerana ini akan melibatkan keselamatan dan nyawa yang banyak," katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian bot karam yang berlaku di Langkawi pada Sabtu.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil menasihati pemancing atau pemilik bot-bot kecil yang hendak turun ke laut supaya perlu lebih peka dengan keadaan cuaca semasa selain mematuhi arahan daripada pihak berkuasa.

"Mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai keadaan cuaca di http://www.met.gov.my/forecast/marine/fishery/Co009. Kalau boleh tunggu keadaan cuaca lebih baik sebelum turun ke laut bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Perubahan cuaca ini juga adalah disebabkan oleh luruan monsun dari Laut China Selatan yang memasuki Semenanjung Malaysia selain terdapat palung yang aktif mengunjur dari Barat Pasifik (Perairan Papua-Kepulauan Maluku-Laut Celebes)," katanya.

Pada Sabtu, kesemua empat kru dan 14 pemancing warga tempatan yang berumur antara 26 hingga 55 tahun itu berjaya diselamatkan bot nelayan tempatan pada pukul 7.30 malam setelah bot yang dinaiki mereka karam pada pukul 2.15 petang di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah dekat Langkawi.

Artikel Berkaitan:

Dua daripada mangsa yang mengalami kecederaan di tangan dan kaki telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk mendapatkan rawatan sebaik tiba di Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut pada jam 11.45 malam. - Bernama