Bakar diri selepas bergaduh dengan teman wanita

Gambar kejadian yang tular di laman sosial Facebook.
Gambar kejadian yang tular di laman sosial Facebook.
A
A
A
SITIAWAN - Seorang lelaki bertindak membakar diri sendiri selepas berkelahi dengan teman wanitanya dalam satu kejadian di Kampung Bintang, di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 7.30 malam itu menyebabkan lelaki berusia 20-an berkenaan parah selepas terbakar hampir 90 peratus dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Seri Manjung (HSM).

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 7.40 malam selepas mangsa dikatakan cuba membakar diri sendiri selepas bergaduh dengan teman wanitanya.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati ia berlaku di tempat meletakkan kenderaan hadapan rumah berkenaan selain terdapat beberapa orang saksi kejadian serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Mangsa telah dihantar ke HSM dan menerima rawatan di ICU. Sumber hospital memaklumkan mangsa mengalami cedera terbakar hampir 90 peratus di badan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Artikel Berkaitan:


Menurut Muhammad Hanif, pihak polis meneruskan siasatan untuk merakam percakapan saksi lain dan menganalisa imej CCTV yang diperoleh.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cuba bunuh diri," katanya.