SPR diminta benarkan ceramah di bawah khemah

Ahmad Maslan ( berdiri dua dari kiri) melawat Pusat Pemberian Booster di PPK Benut pada Ahad.
Ahmad Maslan ( berdiri dua dari kiri) melawat Pusat Pemberian Booster di PPK Benut pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta memberi kelonggaran membenarkan kempen ceramah dengan penglibatan kira-kira 100 peserta yang diadakan di bawah khemah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mengikut prosedur operasi standard ( SOP ) yang ditetapkan ceramah perlu diadakan di kawasan tertutup.

Bagaimanapun, katanya, kawasan tertutup seperti dewan dan balai raya yang merupakan kemudahan awam tidak boleh digunakan oleh parti-parti politik untuk menganjurkan kempen dan ceramah.

"Susah betul saya hendak cari tempat untuk diadakan ceramah. Dewan dan balai raya tidak boleh digunakan sebab itu kemudahan awam.

"Mana ada rumah yang boleh memuatkan 100 peserta untuk ceramah sebagaimana SOP yang telah ditetapkan oleh SPR bagi kempen PRN Johor," katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Booster di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan ( PPK ) Benut, di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Pontian itu turut meminta SPR memanjangkan waktu dibenarkan berceramah sehingga jam 11 malam.

"Waktu yang dibenarkan untuk berceramah setakat ini sehingga jam 10 malam sahaja dan masa itu terlalu singkat," katanya.

Berdasarkan SOP dikeluarkan SPR sebelum ini, penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ceramah dan kempen hanya dibenarkan diadakan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

Justeru, parti politik dan calon yang bertanding menggesa SPR menilai semula SOP PRN Johor bagi memudahkan pergerakan calon dan kempen dapat dilaksanakan dengan lebih fleksibel.