57 penagih dadah ditahan dalam serbuan di tanah rancangan Felda

Polis menahan seramai 57 penagih dadah dalam serbuan tiga hari di beberapa kawasan kawasan tanah rancangan Felda di Jempol. - Foto ihsan PDRM
Polis menahan seramai 57 penagih dadah dalam serbuan tiga hari di beberapa kawasan kawasan tanah rancangan Felda di Jempol. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

JEMPOL - Seramai 57 individu termasuk empat wanita ditahan dan pelbagai jenis dadah bernilai RM11,466.50 dirampas dalam beberapa serbuan berasingan di kawasan tanah rancangan Felda di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, serbuan bermula Rabu hingga Jumaat lepas dilakukan oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dalam Ops Tapis Khas bersasarkan kawasan Felda sebagai tumpuan.

"Ia melibatkan Felda Raja Alias, Felda Palong, Felda Lui Selatan dan Felda Pasoh yang mana kesemua felda ini telah menjadi tumpuan pengedaran serta penagihan dadah.

"Hasil operasi yang dijalankan selama tiga hari telah berjaya menahan seramai 57 individu berumur antara 21 hingga 58 tahun yang terdiri daripada 'tokan' dan penagih termasuk empat wanita berusia 26 hingga 38 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Chang Hook, berikutan itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah iaitu heroin (237.60 gram), syabu (31 gram), codien (270 miligram) dan air ketum (70 liter) dengan anggaran rampasan dadah bernilai RM 11,466.50.

Antara dadah yang dirampas polis. - Foto ihsan PDRM
Antara dadah yang dirampas polis. - Foto ihsan PDRM

"Kesemua suspek ini telah diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985, Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 12(3), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39C ADB1952.

"Pemeriksaan ke atas suspek juga mendapati ada dalam kalangan mereka disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki oleh Bahagian Narkotik IPD Jempol.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut," katanya.

Chang Hook berkata, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai dalam menyalurkan maklumat untuk sama-sama membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.