Agih bantuan kepada penduduk memerlukan di Afghanistan

Ahmad Azam
Ahmad Azam
A
A
A

KABUL - Seratus keluarga Afghanistan, yang diancam kemiskinan selepas pengambilalihan Taliban tahun lepas, menerima kira-kira sebulan bekalan bahan makanan penting daripada kumpulan bantuan Malaysia dan rakan kongsi tempatannya.

Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Persatuan Kebajikan Afghanistan mengagihkan minyak, tepung, beras, minyak masak, gula, kekacang, garam dan teh di Institut Pengajian Tinggi Afghanistan di Kabul, Sabtu.

Pengerusi GPM, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman memberitahu Bernama barangan keperluan itu dibeli di pasaran tempatan untuk membantu ekonomi setempat.

"Jadi kita akan bawa duit dari mula dan kita akan beli di sini. Alhamdulillah, kita lihat di bandar Kabul ini, bahan-bahan ini boleh dibeli. Jadi dengan cara itu, kita juga dapat membantu menjana ekonomi masyarakat tempatan,” katanya.

Menurutnya kumpulan itu menyumbangkan barangan tersebut kepada keluarga yang dikenal pasti paling memerlukan, berdasarkan pendapatan dan saiz keluarga.

Beliau berharap sumbangan itu akan menggalakkan rakyat dan NGO Malaysia untuk menyertai dan meneruskan usaha bantuan yang diselaraskan dengan GPM bagi membantu rakyat Afghanistan yang memerlukan, terutamanya mereka yang berada di bawah paras kemiskinan.

"Ada yang tiba-tiba miskin dan tiada kerja. Ada yang sudah miskin begitu lama," katanya.

Afghanistan menderita akibat krisis ekonomi, perbankan dan kemanusiaan. Apabila Amerika Syarikat berundur dan Taliban mengambil alih pada Ogos 2021, ia menamatkan aliran dana antarabangsa yang dijanjikan untuk membina semula Afghanistan. Berjuta-juta orang kehilangan pekerjaan. Sementara yang masih bekerja pula tidak dibayar gaji selama berbulan-bulan.

Artikel Berkaitan:

Seorang daripadanya Malika Isfanyar, 22, guru agama di sebuah madrasah swasta (sekolah Islam), yang juga pencari nafkah tunggal untuk 13 ahli keluarganya.

Melalui jurubahasa, Malika memberitahu Bernama bahawa dia tidak mendapat gaji bulanan berjumlah AFN6,000 - bersamaan dengan RM277 - sejak Taliban berkuasa, memaksa keluarganya untuk bertahan dengan wang simpanan mereka.

"Simpanan sudah habis sekarang, itulah sebabnya kami meminta bantuan," katanya, sambil berharap akan dibayar gaji tidak lama lagi.

Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini melaporkan bahawa 95 peratus penduduk di Afghanistan tidak cukup makan, dengan kira-kira 8.7 juta orang berada di ambang kebuluran. - Bernama