Saya dijemput, kenapa orang lain sibuk: Najib

Najib (tengah) bersama Hiang Kee bertemu komuniti Cina di sebuah restoran di Taman Bukit Indah, Johor Bahru pada Ahad.
Najib (tengah) bersama Hiang Kee bertemu komuniti Cina di sebuah restoran di Taman Bukit Indah, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kehadirannya pada Perarakan Chingay 2022 dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew di sini baru-baru ini tidak dipolitikkan.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau dijemput penganjur Perarakan Chingay serta pengurusan sekolah berkenaan dan bukan untuk berpolitik.

"Kalau masyarakat tempatan sendiri minta saya hadir, kenapa orang lain nak sibuk pula, itu hak mereka hendak jemput siapa sahaja.

"Jika mereka hendak jemput pemimpin DAP pun itu hak mereka tetapi kali ini mereka tidak jemput pemimpin DAP, mengapa itu kena tanya mereka sendiri," katanya kepada pemberita ketika menyantuni komuniti Cina di Taman Bukit Indah di sini pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Tan Hiang Kee.

Pada 25 Februari lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membidas tindakan Najib yang mengunjungi SJKC Foon Yew di Bandar Seri Alam dan mendakwa tindakan itu tidak beretika kerana menggunakan isu pendidikan negara sebagai modal politik.

"Saya harap ahli politik tidak politikkan isu pendidikan, jangan masuk sekolah untuk buat ucapan politik dan memancing undi kerana itu satu tindakan yang tidak beretika," kata Guan Eng.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Najib berkata, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakannya hadir sendiri ke dua-dua lokasi itu tidak benar.

"Saya dijemput, tak boleh datang sendiri kalau mereka tidak jemput. Saya tidak mahu seperti hidung tak mancung pipi pula tersorong-sorong," katanya.

Bercakap mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Najib yang juga Penasihat Barisan Nasional (BN)

yakin calon MCA mampu menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

"Saya lihat sokongan masyarakat Cina bertambah jika dibandingkan dalam pilihan raya umum (PRU). Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu yakin sebaliknya perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi Cina.

"Ini kerana mereka yang dahulunya menyokong DAP berasa marah dan kecewa selepas ditipu Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh 22 bulan mereka mentadbir negara," katanya

Najib berkata, BN juga tidak menolak kemungkinan calon gabungan itu di kerusi DUN Perling akan melakar kejutan dengan menewaskan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang turut bertanding di kerusi sama.

Beliau berkata, kejutan dijangka berlaku kerana komuniti Cina sudah serik ditipu dan PH gagal mendapat pembelaan ketika DUN berkenaan di bawah DAP dan PH.