Adakan PRN matlamat BN mahu kuasai Johor sepenuhnya: Sanusi
ALOR SETAR - Matlamat utama Barisan Nasional (BN) adalah untuk memiliki kuasa sepenuhnya di Johor sehingga sanggup mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk mencapai agenda peribadi tersebut.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, parti itu hanya mahu mentadbir Johor secara sendirian berbanding pesefahaman yang dimeterai di peringkat Persekutuan.
Menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu, ia juga antara sebab BN mendesak mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.
“Itulah tujuan sebenar BN, nak buat PRN di Johor sebab mahu menang secara sendirian, kemudian mereka mahu PRU diadakan untuk mengambil alih kuasa hanya untuk BN.
“Saya sebenarnya tak berapa suka perkara itu berlaku. Seperti yang saya pernah cakap sebelum ini ketika berkempen di Johor, saya tak mahu ulang dah,” katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan pagi bersama penjawat awam negeri Kedah dan pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu, bahawa beliau yakin BN mempunyai peluang cerah meraih kemenangan pada PRU15 sekiranya kemenangan besar memihak kepada BN dalam PRN Johor.
Najib tegaskan PRN Johor penting kerana ia akan menjadi titik perubahan kepada BN dan petunjuk sama ada gabungan itu mampu memenangi PRU15 dengan bertanding secara bersendirian.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi percaya setiap parti yang bertanding di PRN Johor mempunyai peluang sama rata termasuk calon bebas.
“Keadaan agak sukar diramal, masing-masing ada peluang sama ada Perikatan Nasional (PN), BN, Pakatan Harapan (PH) mahupun bebas. Itu hak rakyat Johor untuk buat pilihan.
“Rakyat sekarang matang, pemikiran juga lebih terbuka dan mereka tahu apa yang berlaku di sekeliling. Rakyat diberi peluang untuk pilih kerajaan negeri yang mereka rasakan mampu bawa negeri itu ke arah lebih maju pada masa depan,” katanya.
Mengulas mengenai calon Pas yang mewakili PN pada PRN Johor, katanya, ia kombinasi terbaik menggabungkan pelbagai latar belakang.
“Secara keseluruhannya, calon PN yang diketengahkan ramai daripada generasi muda yang lebih energetik untuk memimpin generasi akan datang, ia trend yang sangat baik.
“Kita ada keperluan yang tua untuk berikan pandangan dan nasihat kepada yang muda, kita juga perlu lebih ramai orang muda untuk pimpin generasi sekarang dan masa depan, penting untuk beri pilihan itu kepada orang muda,” katanya.