Banjir Terengganu: Penduduk panjat bumbung rumah selamatkan diri

Antara penduduk yang terperangkap memanjat bumbung rumah di Kampung Lubuk Pait, Hulu Terengganu.- Foto ihsan pembaca
Antara penduduk yang terperangkap memanjat bumbung rumah di Kampung Lubuk Pait, Hulu Terengganu.- Foto ihsan pembaca
A
A
A

HULU TERENGGANU - Situasi banjir di daerah Hulu Terengganu semakin buruk sejak awal pagi Ahad berikutan paras air sungai yang naik mendadak menyebabkan kebanyakan daripada penduduk terkandas dan tidak sempat menyelamatkan diri.

Penduduk di kawasan terjejas hanya sempat keluar sehelai sepinggang untuk menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung rumah serta menuju ke kawasan lebih tinggi di bukit berhampiran kampung sementara menunggu bantuan tiba.

Difahamkan, pasukan penyelamat sedang berusaha menyelamatkan penduduk yang terkandas dan terperangkap kerana paras air dengan arus deras kini naik sehingga menghampiri bumbung rumah.

Bagaimanapun, usaha menyelamat kini berdepan cabaran berikutan situasi berbahaya kerana banjir arus deras melanda kawasan tersebut.

Dilaporkan juga bekalan elektrik di kawasan terjejas terputus sejak pagi tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Hulu Terengganu, Kepten Mohd Zabri Abd Razak ketika dihubungi berkata, pihaknya turut bergabung tenaga dengan agensi lain untuk menyelamatkan mangsa.

Katanya, pasukan penyelamat turut memberi maklum balas terhadap situasi bencana yang disalurkan menerusi semua platform media sosial.

Ujarnya, proses mengeluarkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Mengkawang masih dilakukan walaupun berdepan kesukaran kerana arus begitu deras.

Artikel Berkaitan:

Pengamal media turut berdepan kesukaran ke kawasan banjir kerana terputus hubungan ke lokasi berkenaan dan masalah pengangkutan.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 15 buah PPS dibuka di daerah itu dan kini menempatkan 772 mangsa banjir yang dijangka semakin bertambah sehingga lewat petang Ahad.

Sementara itu, Polis Daerah Hulu Terengganu turut menasihati mangsa banjir agar segera berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Antara kawasan paling teruk terjejas ialah sekitar Kampung Sekayu, Kampung Kemat, Kampung Tapah, Felcra Bukit Kepah, Kampung Lubuk Periuk, Kampung Sungai Berua dan beberapa lagi kawasan berhampiran.