Angkat bahasa Melayu sebagai bahasa penghubung antarabangsa

Awang Sariyan
Awang Sariyan
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi di luar negara yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal menjadi lembaran baharu untuk mengangkat semula bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, pengumuman itu amat dialu-alukan dan dihargai oleh pejuang dan pencinta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menurutnya, daripada sudut sejarah, bahasa Melayu memang telah menjadi bahasa diplomasi ratusan tahun dahulu.

"Wujudnya warkah dan perjanjian antara kerajaan-kerajaan Melayu dengan kuasa asing seperti Portugal, Sepanyol, Belanda dan Inggeris di pelbagai perpustakaan di seluruh dunia menjadi buktinya.

"Sarjana Belanda seperti Van Linschoten dan Francis Valentijn menyamakan taraf dan peranan bahasa Melayu dengan bahasa Latin dan Perancis di Eropah pada abad yang sama, iaitu abad 16 Masihi.

"Pernyataan Ismail Sabri di Bangkok itu membuka lembaran baharu untuk mengangkat semula bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, apa yang diumumkan oleh perdana menteri perlu dijadikan sumber iltizam semua penjawat awam yang berurusan di luar negara dan penjawat awam dalam negara yang berurusan dengan pihak antarabangsa agar menggunakan bahasa Melayu, dengan terjemahannya dalam bahasa Inggeris.

Bahkan katanya, usaha pemerkasaan bahasa Melayu dalam pentadbiran negara juga telah dilaksanakan sekian lama.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan Perkhidmatan Awam dalam Pekeliling Perkhimatan Bilangan 9 tahun 2011 bertajuk 'Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam' telah menyebut galakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan surat-menyurat di peringkat antarabangsa dalam bahasa Melayu dengan terjemahannya dalam bahasa Inggeris.

"Untuk perjanjian peringkat antarabangsa pula, bahasa Inggeris digunakan dan terjemahannya dalam bahasa Melayu dibuat untuk rekod dan semakan.

"Perkara yang sama dikeluarkan semula dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 tahun 2020 dengan tajuk 'Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam'," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap pengumuman Ismail Sabri mengenai perkara itu mampu merealisasikan hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN.

"Dewan Bahasa dan Pustaka dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) telah mengusulkannya sejak tahun 2000.

"Selain mempunyai penutur sekitar 300 juta orang di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan di sebahagian Thailand dan Kampuchea, bahasa Melayu difahami juga di negara ASEAN yang lain," katanya.