Thai hargai peranan Malaysia dalam dialog damai di Wilayah Selatan

Ismail Sabri (kiri) bersama Prayuth Chan o-cha. - Foto Bernama
Ismail Sabri (kiri) bersama Prayuth Chan o-cha. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Thailand bersetuju agar Malaysia meneruskan peranan sebagai pemudah cara dalam dialog damai di selatan negara itu selain turut menzahirkan penghargaan dalam kerjasama berterusan dalam mengukuhkan keselamatan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu telah disampaikan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha kepadanya pada Jumaat dalam satu pertemuan sempena lawatan rasminya ke negara berkenaan.

"Saya memberi komitmen untuk menyambung semula dialog yang terhenti akibat Covid-19 sebelum ini,” katanya pada satu sidang media bersama wartawan Malaysia di sini pada Sabtu.

Rundingan itu disifatkan memberi harapan baharu untuk menamatkan keganasan di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam, namun rundingan secara bersemuka tergendala apabila sempadan Thailand dan Malaysia ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Begitupun kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat secara maya sebanyak tiga kali sepanjang tempoh itu.

Rundingan damai selatan Thailand diadakan semula secara bersemuka buat pertama kali di Kuala Lumpur bulan lepas.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor yang mewakili Kerajaan Malaysia terus berperanan sebagai pemudah cara dalam rundingan damai itu.

Pemberontakan di selatan Thailand yang bermula pada 2004 mengorbankan lebih 7,000 nyawa.

Artikel Berkaitan:

Ketua perunding, Wanlop Rugsanaoh dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, iaitu Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang diketuai Anas Abdulrahman telah mengadakan mesyuarat.

Berhubung keselamatan sempadan, Ismail Sabri berkata Malaysia komited bekerjasama dengan Thailand dalam memastikan keselamatan di sempadan kedua-dua negara kekal terjamin dan terpelihara, memperkukuh kerjasama pertahanan termasuk membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan. - Bernama