Napsiah tidak gentar pertembungan tujuh penjuru di DUN Kempas

Napsiah bertanding mewakili PH selepas menyerahkan borang pencalonannya di pusat penamaan calon Dewan Kompleks Perumahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kempas, Johor Bahru, pada Sabtu.
Napsiah bertanding mewakili PH selepas menyerahkan borang pencalonannya di pusat penamaan calon Dewan Kompleks Perumahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kempas, Johor Bahru, pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Pakatan Harapan (PH), Napsiah Khamis@Maharan tidak gentar menghadapi pertembungan tujuh penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas dan akan berusaha memenangi kerusi tersebut.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu berkata, beliau yang merupakan satu-satunya calon wanita menjadi satu kelebihan dan membawa isu-isu berkaitan golongan tersebut.

"Beberapa lagi isu tempatan akan dibawa dalam manifesto parti bagi meyakinkan pengundi di Kempas bahawa parti diwakilinya adalah pilihan terbaik.

"Saya melihat bilangan calon yang bertanding bukan sebagai ukuran. Mungkin situasi ini (tujuh penjuru) memberi kelebihan kepada saya sebagai satu-satunya calon wanita. Saya akan memperjuangkan isu yang dekat dengan penduduk dari peringkat bawah hingga ke atasan.

"Setiap isu boleh diangkat untuk diselesaikan," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan borang pencalonannya di pusat penamaan calon di Dewan Kompleks Perumahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kempas, pada Sabtu.

Selain Napsiah, kerusi DUN Kempas ditandingi Timbalan Ketua Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Johor, Nornekman Osman; Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai, Nur Faizal Abdullah dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Ramlee Bohani.

Seramai tiga calon Bebas turut bertanding melibatkan bekas Ketua Kampung Kempas, Mohd Hambali Munadi, 61; guru matematik, Mohd Azwan Abd Rahman, 40, dan kontraktor, Mohd Suhimi A Rahman, 62.

Napsiah berpandangan potensinya untuk merampas kerusi itu cerah setelah mendapat maklum balas positif di peringkat lapangan.

Artikel Berkaitan: