Hak penyiaran Liga-M boleh ditambah baik demi peminat bola sepak

Annuar - Foto Bernama
Annuar - Foto Bernama
A
A
A

HAK penyiaran Liga Malaysia (Liga-M) boleh ditambah baik bagi memberikan keuntungan kepada setiap pasukan, sekali gus meningkatkan kualiti bola sepak tempatan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berpandangan hak penyiaran tidak seharusnya hanya bertumpu kepada siaran langsung kerana pelbagai kandungan boleh dihasilkan menerusi Liga-M.

"Kalau dilihat dalam EPL (Liga Perdana Inggeris), mereka boleh segmentise banyak lagi seperti praperlawanan, pascaperlawanan, siaran langsung, siaran tertunda atau detik atau aksi menarik. Kemudian semua saluran-saluran televisyen patut diberikan peluang untuk menjadi penyiar.

"Jadi sekarang ini nampak mula bergerak ke arah itu sebab kita tahu, kita ada satu minggu ada enam perlawanan, kadang-kadang yang ada siaran langsung satu dua sahaja, yang lain habis begitu sahaja, itu rugi,” katanya ketika ditemu bual dalam program Santai Bola Sepak Tempatan di Bernama TV di sini pada Sabtu.

Beliau berkata langkah itu membolehkan peminat bola sepak tanah air melihat Liga-M dalam pelbagai perspektif.

Sementara itu, Annuar yang juga Presiden KL City FC berkata pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai kelebihan menjulang Piala Sumbangsih malam ini (Sabtu) kerana mempunyai skuad yang mantap selain ingin mengubat kekecewaan apabila tewas di tangan KL City FC pada Piala Malaysia 2021, Disember lepas.

"Secara teknikal, JDT pasukan yang serba boleh, di setiap posisi itu mantap selain pemain tempatan dan import mempunyai satu tahap yang lebih daripada kebanyakan pasukan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya KL City FC mempunyai kekuatan di bahagian pertahanan dan mampu mengambil peluang sekiranya pemain lawan melakukan kesilapan dalam usaha mereka memburu gol.

Artikel Berkaitan:

Annuar secara peribadi berpandangan Piala Sumbangsih boleh dijadikan satu acara sukan yang dekat dengan komuniti.

"Misalnya hasil perlawanan dan penajaan perlawanan tahun ini didedikasikan kepada barisan hadapan atau mangsa-mangsa banjir, dengan cara demikian bola sepak itu dekat dengan komuniti,” katanya.

Dalam program yang dihoskan Hilmy Ashley itu, Annuar turut berkongsi bahawa kekangan masa menjadi sebab beliau berhasrat melepaskan jawatan Presiden KL City FC meskipun mempunyai ‘cinta mendalam’ terhadap sukan bola sepak. - Bernama