Jadi 'raja sehari' pada penamaan calon

Mohamad Fakrulradzi (dua dari kiri) hadir di PPC bersama bapanya Mahmud (kiri) bagi penamaan calon di DUN Endau pada Sabtu.
Mohamad Fakrulradzi (dua dari kiri) hadir di PPC bersama bapanya Mahmud (kiri) bagi penamaan calon di DUN Endau pada Sabtu.
A
A
A

MERSING - [DIKEMAS KINI] Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Mohamad Fakrulradzi Mahmud tampil kelainan apabila hadir di Pusat Penamaan Calon (PPC), di Dewan Serbaguna Endau, di sini, dengan lengkap berbusana pengantin.

Difahamkan, tarikh penamaan calon ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini kebetulan berlaku pada hari majlis perkahwinannya yang bakal diadakan di Kampung Mengkuang, di sini pada Sabtu.

Fakrulradzi,34 yang juga merupakan calon termuda daripada Parti Amanah Negara (Amanah), iaitu parti komponen PH tiba di PPC pada jam 8.38 pagi dengan turut diiringi oleh bapanya, Mahmud Mat Isa, 85.

Beliau yang telah bernikah bersama isterinya, Mardhiah Abd Razak, 34, dilihat turut diiringi oleh dua individu yang dipercayai merupakan pencadang dan penyokong bagi proses penamaan calon.

Ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon, di sini, Fakrulradzi berkata, beliau telah merancang majlis itu lebih awal dan tidak menyangka ia akan bertembung dengan tarikh penamaan calon ditetapkan SPR.

"Memang tak jangka. (Perlu) berkorban masa saya pada hari bahagia saya hari ini datang penamaan calon untuk rakyat Johor," katanya yang telah melangsungkan pernikahan pada 22 Februari lalu.

Fakrulradzi akan berhadapan dengan pertandingan lima penjuru iaitu membabitkan penyandang kerusi tersebut iaitu Alwiyah Talib yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Youzaimi Md Yusof (Barisan Nasional) dan Ismail Don (Bebas).

Tinjauan Sinar Harian di sekitar PPC di sini pada pagi ini mendapati proses penamaan calon berlangsung dalam suasana tenang dengan kehadiran beberapa kumpulan penyokong.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Fakrulradzi berkata, beliau akan memberikan perhatian terhadap usaha untuk meningkatkan ekonomi dan suara masyarakat setempat sekiranya dipilih untuk menjadi wakil rakyat pada PRN kali ini.

"Saya calon anak muda, harap anak muda Insya-Allah menyokong saya. Buat masa ini sokongan masyarakat setempat itulah diperlukan.

"Saya anak tempatan banyak buat kerja sukarelawan dan juga bekas Ahli Majlis (Daerah) dan berkhidmat di taman perumahan kos rendah yang banyak orang susah dan itu fokus saya," ujarnya.

Pada 9 Februari lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Menurut data SPR, seramai 2.576 juta pengundi biasa layak untuk mengundi di 56 DUN yang dipertandingkan dalam PRN Johor nanti.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi 18.

Pada PRU14 lalu, Alwiyah yang bertanding atas tiket BN berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,080 sebelum bertindak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dua hari selepas pilihan raya itu diadakan.