Sila log masuk terlebih dahulu.

Segerakan gaji minimum RM1,500, gunakan indikator upah optimum

Aizuddin
Aizuddin
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan diharap dapat menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 dengan segera susulan rakyat kini terus dibelenggu dengan kenaikan harga barang.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Aizuddin Ariffin berkata, kerajaan juga disaran agar beralih kepada indikator upah optimum bagi menggantikan kaedah sedia ada, iaitu upah minimum yang kurang bertepatan.

Menurutnya, ini kerana indikator upah optimum turut mengambil kira hak, kebajikan, kebahagiaan dan keselesaan pekerja.

“Sudah tiba masanya, kadar gaji minimum dinaikkan berdasarkan kepada pendapatan paras kemiskinan terbaharu, metodologi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 adalah sebanyak RM2,208 sebulan.

“Saya difahamkan kerajaan sedang dalam proses melaksanakan semakan dan kajian semula kadar bayaran gaji minimum selaras dengan Akta Perundingan Gaji 2011. Namun, proses semakan ini tidak sepatutnya mengambil masa terlalu lama untuk dimuktamadkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Aizuddin yang juga Timbalan Ketua AMK Kedah berkata, kajian perintah gaji minimum ini sepatutnya telah disiapkan pada suku keempat 2021.

“Namun sehingga kini, proses tersebut masih di peringkat kajian seolah olah kerajaan berdolak dalih dalam pelaksanaan perintah gaji minimum,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sekiranya Kementerian Sumber Manusia memerlukan tempoh lebih lama, pihaknya mencadangkan agar peranan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) digiatkan bagi mencari mekanisme terbaik untuk menaikkan kadar gaji minimum sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan juga tidak seharusnya wujudkan senario dwi standard di bandar dan di luar bandar dalam perintah gaji minimum.

“Sebagai contoh, sekiranya untuk kawasan bandar gaji minimum adalah RM1,500, nilai sama juga hendaklah dilaksanakan di pedalaman atau luar bandar. Kenapa harus dibeza-bezakan,” katanya.

Baru-baru ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpendapat sekarang bukanlah masa sesuai untuk melaksanakan kenaikan gaji minimum di Malaysia susulan ketidakstabilan ekonomi syarikat-syarikat yang beroperasi dalam negara.

Namun, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berharap penetapan kadar gaji minimum yang baharu, iaitu RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini tidak ditunda selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Manakala Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menaikkan segera gaji minimum kepada RM1,500 dan tidak menunggu sehingga akhir tahun ini.