Gaji minimum di Malaysia masih tercorot

Gaji minimum RM1,200 sebulan yang diguna pakai ketika ini menyebabkan negara ini berada di kedudukan tercorot berbanding negara serantau lain. (Gambar kecil: Shahir)
Gaji minimum RM1,200 sebulan yang diguna pakai ketika ini menyebabkan negara ini berada di kedudukan tercorot berbanding negara serantau lain. (Gambar kecil: Shahir)
A
A
A

KOTA BHARU - Gaji minimum RM1,200 iaitu AS$287 sebulan yang diguna pakai ketika ini menyebabkan negara ini berada di kedudukan tercorot berbanding negara serantau lain.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, dua negara lain iaitu Indonesia dan Thailand juga mencatatkan angka yang jauh berbeza dengan Malaysia.

Menurutnya, di Thailand, gaji minimum adalah 336 Thai Baht sehari atau 13,440 THB bersamaan AS$414 sebulan, manakala di Indonesia, gaji minimum adalah AS$326 sebulan.

"Perbandingan ini menunjukkan Malaysia berada di dalam keadaan antara yang tercorot di rantau ini. Jika gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 sebulan, ianya bersamaan AS$357 sekali gus meletakkan negara kita di kelompok tertinggi di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Shahir berkata, dengan perbandingan tersebut, DPIM berharap kerajaan dapat menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 dalam waktu terdekat tanpa menunggu hingga penghujung tahun 2022.

Menurut beliau, kali terakhir kadar gaji minimum dinaikkan adalah melalui pembentangan Belanjawan 2020 apabila kerajaan bersetuju menambah RM100, iaitu daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan.

"Jika dilaksanakan dengan segera, cadangan ini akan memberi nafas baru kepada golongan miskin B40 dalam negara terutamanya yang berdepan dengan masalah kewangan.

"Walaupun keputusan ini dianggap akan memberi kesan kepada perniagaan, impak ke atas ekonomi harus dilihat secara holistik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peningkatan gaji akan meningkatkan kos operasi, namun peningkatan gaji juga akan meningkatkan permintaan pelbagai barangan dan perkhidmatan domestik yang memberikan impak lebih besar kepada ekonomi tempatan.

"Rakyat akan mempunyai lebihan wang untuk berbelanja," katanya.