Amanah sokong calon PKR di kerusi bertindih dengan Muda

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

BATU PAHAT - Pertindihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad turut menyifatkan perkara itu amat malang jika ia tidak dapat diselesaikan kerana Pakatan Harapan (PH) telah membentuk kerjasama dengan Muda sejak awal.

Di pihak Amanah katanya, parti itu membuat pendirian untuk menyokong calon PKR sekiranya berlaku pertindihan kerusi melibatkan kedua-dua parti tersebut.

“Bagi Amanah, PKR adalah rakan gabungan. Oleh itu di mana berlakunya pertindihan antara PKR dan Muda di kerusi yang telah diamanahkan kepada PKR, Amanah akan menyokong calon PKR.

“Pada masa sama, di kerusi yang telah Amanah serahkan pada Muda, dari kerusi-kerusi diamanahkan kepada Amanah, Muda hendaklah dianggap mewakili Amanah.

"Semua rakan gabungan PH, termasuk PKR, hendaklah menyokong calon Muda,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Muda dan PKR sebelum ini dilapor akan bertembung di kerusi DUN Larkin pada PRN Johor.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti tersebut menyerahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik sama ada memilih Muda atau PKR.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Khalid berkata, sekiranya perkara itu tidak dapat dielakkan, beliau berharap supaya pertindihan dan persaingan antara parti-parti pembangkang dihadkan kepada kerusi terlibat sahaja, manakala semangat kerjasama kekal dipertahankan di kerusi selainnya.

Katanya, ia demi mendukung matlamat sama untuk menafikan kemenangan kepada UMNO-BN serta menghalang kembalinya kepimpinan yang mendukungi 'Kluster Mahkamah'.