1MDB: Rohana Rozhan sedia beri kerjasama penuh

Rohana
Rohana
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah firma, Datuk Rohana Rozhan mengesahkan telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui firma guaman, Tetuan Valen, Oh & Partners, Rohana menjelaskan beliau sedia memberikan kerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan.

“Saya merujuk kepada dakwaan yang muncul di media tentang saya. Saya telah hadir di pejabat SPRM dan memberi kerjasama penuh dalam siasatan mereka,” menurut kenyataan berkenaan pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan Rohana telah memberikan keterangan kepada SPRM pada Khamis selama lapan jam setelah dipanggil oleh agensi itu.

Beliau dipercayai dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pendedahan bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah New York pada Isnin.

Ia berkaitan pembelian sebuah rumah di London bernilai lebih AS$10 juta (RM41.8 juta) pada 2013 untuk Rohana.

Leissner memberikan keterangan tersebut semasa menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng.

Menerusi keterangan yang dilaporkan Bloomberg itu, Leissner mendedahkan bahawa pembelian rumah untuk Rohana itu dibuat selepas dia diugut oleh kekasih sulitnya itu untuk mendedahkan berkenaan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Leissner turut memaklumkan di mahkamah bahawa hubungan bersama Rohana itu terjalin bermula 2003 hingga 2013.

Leissner pada 2018 telah mengaku bersalah kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.