Lelaki terlibat kekecohan di hospital didakwa di mahkamah

Lingkswaran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada dua individu menggunakan sebilah parang.
Lingkswaran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada dua individu menggunakan sebilah parang.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada dua individu menggunakan sebilah parang di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini pada Jumaat.

Tertuduh, V Lingkswaran, 25, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap P Navaneshwaran, 24, dan N Laxmi, 29, dengan menggunakan sebilah parang iaitu senjata berbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan itu, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Sekolah, Guntong di sini pada jam 11 malam pada 19 Februari 2022.

Bagaimanapun, lelaki yang bekerja sebagai penyelia pengangkutan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Lingkswaran didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Hakim Norita Mohd Ardani membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan berkenaan dengan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan lain sehingga kes selesai.

Tertuduh juga diarah oleh mahkamah untuk melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 20 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pada 21 Februari lalu, empat lelaki disyaki terlibat dalam pergaduhan sehingga menimbulkan kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini ditahan.

Media melaporkan, perselisihan faham antara dua keluarga berkaitan isu cinta dipercayai menjadi punca yang membawa kepada kekecohan di pekarangan HRPB di sini yang videonya tular pada Sabtu.

Kekecohan yang berlaku sekitar jam 12.20 tengah malam pada Jumaat itu melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan yang mahu menghantar mangsa-mangsa cedera ke hospital.