KBS pantau situasi sembilan pemain, tiga pegawai di Kemboja

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memantau perkembangan semasa dan tahap kesihatan sembilan pemain dan tiga pegawai pasukan bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) yang terkandas di Phnom Penh, Kemboja susulan dijangkiti Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, KBS bekerjasama rapat dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memastikan kesemua 12 individu yang kini sedang menjalani kuarantin di sana, dapat kembali ke tanah air dengan selamat.

Beliau berkata, kesemua pemain serta pegawai skuad B-23 kebangsaan berada dalam keadaan baik dan sebarang tindakan lanjut akan diambil KBS berdasarkan maklumat terkini daripada FAM.

"Maklumat yang saya dapat, keadaan mereka baik dan selepas mereka dikuarantin dan kesihatan mereka (baik) kita akan segera bawa mereka balik. Tiada apa perlu kita bimbangkan.

"Insya-Allah kita akan pastikan mereka terus dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, pada Jumaat selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Datuk Shukor Salleh - Jeneral Padang yang turut dihadiri legenda skuad kebangsaan era 70-an itu.

FAM menerusi hantaran dalam laman Facebook rasminya pada Khamis, memaklumkan kesemua sembilan pemain dan tiga pegawai skuad B-23 yang menyertai Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 di Kemboja disahkan positif Covid-19 oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan AFF.

Justeru, mereka perlu menjalani kuarantin di Phnom Penh sehingga pulih sebelum dibenarkan pulang.

Pada masa sama, baki 19 pemain skuad bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney tidak berdepan halangan dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran biografi tersebut, Ahmad Faizal menyifatkan ia relevan dalam memberi pencerahan kepada atlet masa kini terhadap pengorbanan generasi terdahulu.

"Buku ini adalah penanda aras yang menceritakan kisah dan pengorbanan seorang pemain bola sepak atau atlet yang bermula dari sekolah, bekerja keras untuk mencapai impian dan akhirnya bola sepak dijadikan platform untuk mencari sumber pendapatan pada zaman pra-Internet,” katanya.

Diterbitkan oleh Legasi Lagenda pada 2021, buku berharga RM160 itu boleh didapati di pasaran secara dalam talian menerusi http://legasilagenda.com dan akan dipasarkan di kedai-kedai buku tempatan. - Bernama