Tinggal 4 bulan rakyat nikmati pengecualian cukai jualan kereta

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tinggal empat bulan lagi untuk rakyat Malaysia menikmati insentif pengecualian cukai jualan kereta ke atas pembelian keluaran tempatan atau import sedan, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan, menerusi Bajet 2022, telah melanjutkan tempoh insentif pengecualian cukai jualan kereta sehingga 30 Jun 2022 bagi menggalakkan pemilikan kereta, merangsangkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan memacu momentum perkembangan sektor automotif.

"Di bawah Bajet 2022, pengecualian cukai jualan kereta kekal seperti mana sebelum ini iaitu pengecualian cukai jualan 100 peratus ke atas kereta penumpang pemasangan tempatan (CKD).

"Manakala, pengecualian cukai jualan sebanyak 50 peratus diberikan ke atas kenderaan penumpang pemasangan luar negara (CBU) termasuk MPV (kenderaan pelbagai guna) dan SUV (kenderaan utiliti sukan) merangkumi CBU import baharu dan CBU import terpakai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-86 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata secara keseluruhannya kerajaan telah menyalurkan RM20.355 bilion kepada 357,530 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) untuk mengekalkan penggajian 2,953,820 pekerja tempatan dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Beliau berkata, setakat 11 Februari 2022 sebanyak RM17.44 juta telah disalurkan kepada 1,744 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 29,065 pekerja.

Maklumat lanjut boleh didapati di https://www.perkeso.gov.my/bajet-2022/sip-bajet-2022.html.

Artikel Berkaitan:

Bagi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), RM21.72 juta telah berjaya disalurkan kepada 902 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro setakat 18 Februari lepas, katanya.

Skim ini adalah satu inisiatif strategik kerajaan menerusi Tekun Nasional untuk membantu masyarakat India mempertingkatkan ekonomi menerusi penglibatan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

"Bagi masyarakat India yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan serta mereka yang ingin memajukan lagi perniagaan sedia ada, nilai pembiayaan yang disalurkan adalah daripada RM1,000 sehingga RM100,000 bagi setiap usahawan mengikut kelayakan,” katanya.

Tempoh bayaran balik pembiayaan adalah sehingga 120 bulan pada kadar empat peratus setahun.

Tengku Zafrul berkata, program ini telah diberi peruntukan RM20 juta, iaitu RM5 juta adalah daripada Belanjawan 2021 manakala penambahan sebanyak RM15 juta lagi daripada Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan kini diteruskan bagi 2022.

Maklumat lanjut boleh didapati di https://www.tekun.gov.my/ms/usahawan-tekun/skim-pembangunan-usahawan-masyaraka t-india-spumi-2/.

Beliau berkata, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kerajaan telah memperuntukkan RM700 juta bagi membantu dan menggalakkan PKS serta syarikat di peringkat pertengahan (MTC) ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan.

Setakat 11 Februari sejumlah RM91.8 juta telah disalurkan kepada 13,891 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi, katanya. - Bernama