Agamawan dinasihat henti cetus kekeliruan

Idris (berdiri) menyampaikan ucapan ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Calon SPM dan STAM 2021 di Dewan Restoran Nasi Ayam Hainan Simpang, di sini pada Jumaat.
Idris (berdiri) menyampaikan ucapan ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Calon SPM dan STAM 2021 di Dewan Restoran Nasi Ayam Hainan Simpang, di sini pada Jumaat.
A
A
A

TAIPING - Golongan agamawan dinasihati agar menghentikan sebarang polemik yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, persoalan mengenai perselisihan pandangan berkaitan isu agama, masing-masing mempunyai hujah tersendiri.

Menurutnya, bagaimanapun agamawan harus mencari jalan untuk memudahkan masyarakat memahami Islam.

"Sebab itu saya turun ke negeri-negeri buat program Multaqa Murabbi Ummah. Setakat ini kita telah turun di Sabah, Melaka dan Negeri Sembilan. Di Terengganu, insya-ALLAH minggu ini dan akan datang di Kedah dan Pulau Pinang.

"Kita mahu supaya agamawan ini tidak timbulkan polemik kepada masyarakat awam," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Calon SPM dan STAM 2021 di Dewan Restoran Nasi Ayam Hainan Simpang, di sini pada Jumaat.

Idris berkata, program tersebut menghimpunkan para agamawan untuk menasihati mereka supaya membincangkan soal yang sepatutnya kepada masyarakat awam.

Katanya, golongan agamawan harus memberikan keutamaan terhadap perkara yang memberi manfaat kepada ummah.

Dalam perkembangan lain, Idris menasihatkan semua pihak supaya mengambil berat tentang keperluan masyarakat setempat khususnya jiran masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebarang isu atau masalah orang yang memerlukan bantuan boleh terus disalurkan kepada jabatan berkaitan.

Jelasnya, dalam masa sama agensi berkaitan juga dinasihatkan turun padang mencari golongan yang memerlukan untuk disalurkan bantuan.

"Saya selalu guna terma biar kita yang mencari orang susah, bukan orang susah yang mencari kita. Kita tahu orang susah dia kena kerja, dia kerja kais pagi makan pagi kerja petang makan petang. Kita yang makan gaji, kita ada elaun, kita yang pergi cari dia.

"Kita dapatkan maklumat daripada imam, daripada jawatankuasa kampung, maklumat mesti ada. Itu sikap yang kita kena ada," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kisah keluarga Diwiyana Mohammed, 37, yang video kesusahan hidupnya tular di media sosial.