Jangan terlalu emosi keluar komen kepada agamawan: Mufti Kedah

Syeikh Fadzil (dua dari kiri) memimpin bacaan doa ketika penyerahan cek zakat daripada Bismi Empire kepada LZNK di Simpang Empat Kangkong pada Khamis.
Syeikh Fadzil (dua dari kiri) memimpin bacaan doa ketika penyerahan cek zakat daripada Bismi Empire kepada LZNK di Simpang Empat Kangkong pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Pelayar media sosial dinasihatkan supaya tidak terlalu beremosi mengeluarkan komen sehingga merendahkan pandangan ulama dan agamawan yang sentiasa menjadi rujukan.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, ini kerana ALLAH SWT meletakkan golongan itu di tempat yang tinggi dan perlu dihormati masyarakat.

Menurutnya, kemudahan media sosial yang ada pada hari ini tidak sepatutnya dijadikan platform untuk mereka melepaskan perasaan dengan terlalu emosi sehingga tidak dapat membezakan siapa yang menjadi sasaran mereka.

"Golongan ilmuwan agama dan ulama dikurniakan ALLAH SWT mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan diangkat darjat mereka dan dimuliakan.

"Ia seperti kata Hasan al-Basri 'Kalaulah tidak kerana jasa ulama, nescaya tiada bezanya antara manusia dengan haiwan ternakan'," katanya mengulas mengenai sikap segelintir netizen yang sering mengkritik ilmu yang disampaikan agamawan dan ulama di media sosial.

Beliau berkata, masyarakat yang memahami peranan ilmuwan dan ulama tidak akan bertindak sedemikian kerana perbuatan itu tidak manis dipandang.

Jelasnya, tindakan netizen yang tidak lagi menghormati pandangan ilmuwan dan ulama mungkin antara tanda-tanda akhir zaman dan semakin hampir dengan kiamat.

Syeikh Fadzil sebelum itu ditemui pada Majlis Penyerahan Zakat Ayam Bismi dan Majlis Perasmian Rumah Makan Percuma di Simpang Empat Kangkong, di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyaksikan penyerahan zakat bernilai RM370,000 daripada Presiden Bismi Empire dan Pengasas Ayam Bismi, Jaffri Ahmad kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Syeikh Zakaria Othman.