MCA umum 14 calon PRN Johor

Ka Siong (tengah) selepas mengumumkan 14 daripada 15 calon parti itu yang akan bertanding dalam PRN Johor, di Johor Bahru pada Khamis.
Ka Siong (tengah) selepas mengumumkan 14 daripada 15 calon parti itu yang akan bertanding dalam PRN Johor, di Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - MCA mengumumkan 14 daripada 15 calon parti itu yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan.

Calon berkenaan ialah See Ann Giap akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah; Tan Chong (Bekok); Ong Chee Siang (Tangkak); Gan Qi Ru (Bentayan); Ling Tian Soon (Yong Peng); Ter Hwa Kwong (Penggaram) dan Kelly Chye Pei Yee (Mengkibol).

Selain itu Lee Ting Han (Paloh); Chan San San (Johor Jaya); Ang Boon Heng (Stulang); Tan Hiang Kee (Perling); Lim Soon Hai (Skudai); Shen Poh Kuan (Senai) dan Tan Eng Meng (Pekan Nenas).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang membuat pengumuman itu berkata, bagi kerusi DUN Puteri Wangsa akan dimaklumkan pada Jumaat kerana perbincangan masih berjalan.

"Ini adalah perkara biasa apabila melalui proses pengumuman calon, jadi pada hari ini kita umumkan 14 calon dahulu, manakala seorang lagi akan diumumkan esok.

"Purata usia calon MCA dalam PRN Johor ini adalah berusia 43 tahun. Daripada 14 orang ini enam daripada mereka dalam usia 30-an dengan seorang berusia 27 tahun.

"Calon paling senior berusia 60 tahun. Sembilan daripada mereka adalah muka baharu, ini signifikan," katanya selepas mengumumkan calon MCA bagi PRN Johor d sini pada Khamis.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, partinya perlu bekerja lebih keras bagi membuktikan MCA masih relevan dan mampu menarik sokongan masyarakat termasuk pengundi baharu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ini kerana MCA tewas di semua 14 kerusi DUN ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Sebelum ini ada pihak cakap MCA tidak mampu menarik sokongan masyarakat, termasuklah golongan profesional dan muda.

"Jadi dalam PRN Johor, kita tampilkan senarai calon yang berkelayakan, calon baharu, muda, profesional dan juga wanita," katanya.

Sementara itu, apabila ditanya berhubung keyakinan beliau dalam PRN Johor ini, Ka Siong berkata, pihaknya tidak suka untuk membuat ramalan berdasarkan statistik atas kertas.

"Lazimnya saya tidak akan membuat sebarang ramalan walaupun kita ada sasaran tertentu, sebaliknya biarlah kita buat kerja bersungguh-sungguh untuk memenangi hati pengundi.

"Atas kertas mungkin dilihat seperti kita mempelajari kelebihan tetapi perlu diingat kita tewas kesemua kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya umum lalu, maka kita perlu bekerja keras mendapatkan semula mandat rakyat," katanya.