PRN: Satu kertas penamaan calon ditolak SPR

Abdul Ghani - Foto Bernama
Abdul Ghani - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima 573 kertas pencalonan pada penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Bagaimanapun Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya menolak satu kertas pencalonan.

"Ia membabitkan bakal calon Bebas di DUN N09 Kota Lama Kelantan," katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPR di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) dan Pas menjadi gabungan parti politik yang meletakkan calon paling ramai bertanding iaitu 246 orang.

Menurutnya, mengikut pecahan, seramai 168 calon daripada PN manakala 78 daripada Pas.

"Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 138 calon, BN (108), Bebas (41), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) (19), Parti Rakyat Malaysia (PRM) (13), Parti Sosialis Malaysia (empat), Parti Barisan Penang (dua) dan Parti Utama Rakyat (satu)," katanya.

Beliau berkata, N34 Lunas, Kedah menjadi satu-satunya DUN yang menyaksikan pertandingan lima penjuru.

"Pertandingan dua penjuru berlangsung di 181 kawasan pilihan raya, tiga penjuru di 51 DUN dan selebihnya 13 DUN bertanding empat penjuru," jelas beliau.

Abdul Ghani berkata, calon PRM di DUN N36 Pantai Jerejak, M Ravinder yang berusia 80 tahun menjadi calon tertua sementara calon Muda di DUN N19 Bukit Antarabangsa, Melalnie Ting Yi-Hlin berumur 23 tahun adalah calon termuda.

"Dengan ini tempoh kempen selama 14 hari bermula sehingga jam 11.59 malam pada 11 Ogos depan," katanya.

Terdahulu, proses penamaan dibuka selama sejam bermula jam 9 pagi.

Sebelum ini SPR menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari mengundi bagi PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Selain itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan serentak pada hari berkenaan.

Hari penamaan calon adalah pada 29 Julai dan hari mengundi awal pula 8 Ogos ini.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!