Ada ralat dalam profil diumumkan, calon Muda mohon maaf

Mohd Azrol
Mohd Azrol
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Mohd Azrol Ab Rahani ralat dengan profilnya yang dikaitkan pernah terlibat dengan animasi Anak-Anak Sidek dan Keluang Man.

Beliau yang juga Pengerusi Muda Johor tidak pernah mendakwa sebagai tulang belakang untuk kedua-dua animasi popular tersebut.

"Mungkin ada ralat waktu profil saya diumumkan. Cuma saya nak sebut, waktu kegemilangan animasi tempatan, saya adalah antara insan yang bertuah merasai pengalaman di dunia animasi, cuma bukan legenda Anak-Anak Sidek dan Keluang Man," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Isnin, media melaporkan Azrol yang sebelum ini merupakan antara tulang belakang pasukan animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man berazam mewujudkan peluang pekerjaan bagi generasi muda Felda jika menang dalam PRN Johor.

Bagaimanapun Persatuan Animasi Malaysia (Animas) pada Selasa menafikan Azrol adalah tulang belakang dalam dua animasi popular tersebut.

Menerusi profil dikeluarkan Muda dalam bentuk kenyataan akhbar semasa pengumuman beliau sebagai calon DUN Bukit Permai pada Isnin, memaklumkan Azrol merupakan sebahagian daripada kumpulan yang bertanggungjawab mencipta animasi Keluang Man dan Anak-Anak Sidek.

Malah semasa majlis mengumumkan beliau sebagai calon di kerusi tersebut, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut memaklumkan Azrol pernah terlibat dengan dua animasi tersebut.

Mengulas lanjut, Azrol sedar soal hak cipta sesuatu jenama termasuk dalam bidang animasi perlu dipelihara dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak ada niat untuk melafazkan atau melakukan perkara yang mengguris hati rakan-rakan komuniti animasi tempatan. Untuk itu, saya mohon maaf atas perkara ini. Saya sedia ditegur. Kalau ada masa untuk bertemu, saya boleh bertemu kawan-kawan juga.

"Tapi saya memang terlibat dalam pembikinan animasi tempatan waktu berada di Makmur Megah. Waktu itu, saya antara yang terlibat dengan team animasi 'Wise Mise' sebagai animator, syarikat ini juga yang menerbitkan animasi Mergastuah dan Tok Tam," ujarnya.