Muda, PKR bertembung kerusi di DUN Larkin

Dari kiri Rasid, Syed Saddiq dan Sangaran selepas majlis memperkenalkan tiga lagi calon Muda di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru, pada Khamis.
Dari kiri Rasid, Syed Saddiq dan Sangaran selepas majlis memperkenalkan tiga lagi calon Muda di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertembung di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti tersebut menyerahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik sama ada memilih Muda atau PKR.

Beliau berkata, Muda mempertaruhkan Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar di kerusi DUN itu dan tidak mengumumkannya awal kerana menghormati proses rundingan kerusi antara Muda dan PKR sebelum ini.

"Kita tidak umum kerusi awal kerana menghormati proses rundingan tersebut dan masih cuba guna saluran lain untuk pastikan tidak ada pertindihan kerusi.

"Jika ada sekalipun kita sudah cuba mengurangkan pertindihan kerusi semaksimum mungkin dan apabila berlaku (pertindihan), kita akan serahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memperkenalkan tiga lagi calon Muda di Taman Eco Cascadia, di sini pada Khamis.

Selain Rasid, 28, Muda mengumumkan Setiausaha Jawatankuasa Muda Johor, Fikri Musa, 28, akan bertanding di kerusi DUN Parit Raja dan Timbalan Pengerusi Muda Johor, R Sangaran, 32, di DUN Machap.

Pada Sabtu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh menjelaskan pintu rundingan pembahagian kerusi PKR dengan Muda sudah tertutup selepas parti itu mengumumkan kesemua 20 calon PKR bagi kerusi yang akan ditandingi.

Artikel Berkaitan:

Syed Saddiq dalam kenyataan balas memaklumkan, tindakan PKR mengumumkan 20 calon itu menjejaskan sekali gus menamatkan rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menjelaskan tidak boleh bercakap bagi pihak PKR sama ada kemungkinan berlaku sabotaj semasa kempen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar itu masih berteka-teki berhubung sama ada turut bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.

"Buat masa ini, hanya tujuh kerusi yang akan ditandingi Muda dalam PRN Johor dan kita mahu menampilkan calon-calon Muda lain yang jauh lebih baik dan layak daripada saya.

"Sekali lagi saya tegaskan Muda bukan Syed Saddiq sebaliknya suara anak muda tempatan yang mempunyai hati untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini," jelasnya.