Patuh SOP, majikan, pekerja wajib lapor kejadian bahaya: NIOSH

Wilson Ugak
Wilson Ugak
A
A
A

SHAH ALAM – Semua pihak khususnya majikan dan pekerja perlu sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerja yang selamat seperti termaktub dalam perundangan, peraturan dan garis panduan berkaitan keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

Pengerusi Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata, sebarang insiden berbahaya yang berlaku di tempat kerja juga wajib dilaporkan.

Beliau merujuk kepada kejadian membabitkan beberapa individu yang berdepan detik cemas apabila sebuah gondola dinaiki mereka berbuai dan berpusing akibat ditiup angin kencang.

“NIOSH yakin insiden kejadian tersebut akan diambil tindakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Sebarang insiden termasuk kejadian yang berbahaya wajib dilaporkan oleh majikan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang dan potensi kecederaan serta kematian dapat dielakkan di masa hadapan.

“Tindakan selanjutnya sudah pasti akan diambil termasuk notis pemberhentian kerja, siasatan tapak dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Tambah beliau, kejadian seumpama itu adalah lumrah bagi pekerjaan yang berisiko tinggi dipelbagai sektor pekerjaan terutama melibatkan aktiviti-aktiviti bekerja di tempat tinggi seperti gondola, perancah, kren dan lain-lain.

Katanya, kerja berisiko tinggi bukan hanya melibatkan aspek penggunaan mesin atau jentera dan peralatan cegah jatuh, tetapi penaksiran risiko serta langkah kawalan juga perlu mengambil kira elemen keadaan cuaca semasa.

Artikel Berkaitan:

“Kegagalan mengambil kira aspek-aspek tersebut bukan hanya mengakibatkan kecelakaan ke atas pekerja dan kemusnahan harta benda, tetapi juga boleh mendatangkan musibah kepada orang awam yang berdekatan tempat kejadian,” katanya.

Pada Selasa, video insiden yang dipercayai berlaku di sebuah bangunan pencakar langit di ibu negara telah tular.

Kejadian dirakam oleh orang awam itu menunjukkan gondola yang berpusing itu turut merempuh struktur bangunan.

Beberapa individu yang menaikinya dilihat mengimbangkan diri sambil cuba untuk menyelamatkan diri.