Didenda RM4,000 jual walkie-talkie tidak diperakui

Tindakan sebuah syarikat dan pengarahnya menjual walkie-talkie tidak diperakui SKMM membawa padah apabila didenda masing-masing RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.(Gambar hiasan) - Foto 123RF
Tindakan sebuah syarikat dan pengarahnya menjual walkie-talkie tidak diperakui SKMM membawa padah apabila didenda masing-masing RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.(Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan sebuah syarikat dan pengarahnya menjual walkie-talkie tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membawa padah apabila didenda masing-masing RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Syarikat V&C Infinity Enterprise Sdn Bhd dan pengarahnya, Alex Ooi Hee Choon, 29, selaku Orang Kena Saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim MM Edwin Paramjothy.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua OKS dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, syarikat dan pengarah terbabit didakwa menjual kelengkapan komunikasi iaitu dua walkie-talkie jenama Baofeng model UV-5RA dan tiga unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S, yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Kesalahan dilakukan di Pusat Perdagangan Persiaran Jalil 3, Bukit Jalil di sini, pada jam 10.30 pagi, 2 Oktober 2019.

OKS didakwa mengikut Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16 (3) Peraturan-peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-peraturan saman.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, Alex yang tidak diwakili peguam merayu agar dia dikenakan hukuman ringan dengan alasan syarikatnya mengalami kerugian selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa SKMM, Mai Zairani Zainal Abidin mencadangkan agar kedua-dua OKS dikenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran agar kesalahan yang sama tidak berulang.