Henti sebar kenyataan ekstremis: Raja Bahrin

Raja Kamarul Bahrin Shah
Raja Kamarul Bahrin Shah
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Pembunuhan kejam 50 umat Islam di dalam masjid di Christchurch, New Zealand wajar memberi pengajaran kepada seluruh masyarakat supaya tidak lagi menyebarkan kenyataan ekstremis dan berbaur perkauman di negara ini.

Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, penggunaan media sosial untuk membakar kebencian terhadap kaum dan agama lain juga ada persamaan dengan taktik digunakan pengganas di dalam kes pembunuhan kejam itu.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tuduhan ‘halal darah’, ‘kafir harbi’, ‘wajib dihapuskan’ dan ungkapan ‘patut ditembak’ disebarkan secara meluas melalui media sosial.

“Mereka yang membuat kenyataan ini terdiri dari para agamawan dan tokoh politik negara yang boleh mempengaruhi pandangan rakyat dan menggugat keharmonian agama dan kaum di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, perbuatan mengeluarkan kenyataan demikian adalah tidak bertanggungjawab terutama oleh mereka yang mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam masyarakat.

“Tindakan bagi menghalang kenyataan demikian patut diambil. Gelaran pendatang kepada sebahagian rakyat Malaysia ada persamaan dengan gelaran ‘invaders’ atau penceroboh yang digunakan oleh penembak di Christchurch, New Zealand ke atas orang Islam.

“Ancaman keagamaan dan perkauman boleh membakar kebencian. Ia adalah taktik sama yang wujud di Malaysia dan juga peristiwa pembunuhan di New Zealand di mana kemarahan akhirnya mencetus keganasan seperti di New Zealand,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa, kejadian berlaku di negara itu mendapat perhatian ahli politik pembangkang di negara ini, namun, dalam masa yang sama menyuntik sentimen agama dan perkauman ke atas kaum minoriti di Malaysia.

“Ironinya, ada ahli politik tertentu pembangkang Malaysia begitu marah perbuatan kejam itu, namun, dalam masa yang sama mereka secara berterusan mengecam kaum serta agama minoriti di Malaysia.
Artikel Berkaitan:


“Ini senario berbahaya di negara hari ini. Menakutkan rakyat dengan isu agama dan bangsa untuk menimbulkan kemarahan bagi tujuan mendapat kuasa.

“Kalau situasi dan serangan perkauman dan keagamaan melalui media sosial di Malaysia tidak dibendung, kita hanya menunggu masa sebelum tragedi seperti ini melanda negara kita,” dakwanya.

Dalam pada itu, Raja Bahrin menyifatkan insiden di dua masjid itu sebagai kekejaman di luar dugaan yang dilakukan semasa manusia sedang beribadat.