15 individu merokok di laluan pejalan kaki berbumbung dikompaun

Salah seorang individu yang dikompaun kerana merokok di kawasan larangan dalam operasi dijalankan.
Salah seorang individu yang dikompaun kerana merokok di kawasan larangan dalam operasi dijalankan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 15 individu dikompaun RM3,750 kerana merokok di laluan pejalan kaki yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di ibu negara.

Timbalan Pengarah Kanan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Nor Halizam Ismail berkata, kebanyakan daripada mereka memberi alasan tidak mengetahui larangan berkenaan.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan larangan merokok di kawasan tersebut telah dilaksanakan sejak tahun 2019, malah papan tanda melarang merokok terpampang di laluan berkenaan.

"Peraturan 22, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 telah memperuntukkan larangan merokok di kawasan yang diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Khusus bagi Peraturan 22 ini, semua kawasan pejalan kaki berbumbung di seluruh Kuala Lumpur telah diwartakan sebagai tempat larangan merokok bermula tahun 2017," katanya ketika sidang media selepas operasi di laluan pejalan kaki Pusat Beli Belah Sunway Putra di sini pada Khamis.

Operasi berkenaan turut disertai pegawai KKM dan badan bukan kerajaan (NGO) Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok (KLBAR).

Mengulas lanjut, Nor Halizam berkata, selain kompaun pihaknya turut menjalankan program advokasi kepada 250 warga kota.

"KLBAR membantu menjalankan pendidikan kesihatan kepada perokok tegar membabitkan bantuan berhenti merokok menerusi program mQuit yang boleh dilayari di pautan jomquit.com.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang aduan berkaitan kesalahan merokok di tempat awam juga boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-860 8949 yang dikendalikan oleh pihak KKM," ujarnya.