Restoran vegetarian terbakar

Annie (kiri) menunjukkan restoran milik keluarganya yang terletak di Jalan Gajah Mati hangus dalam kebakaran, pada pagi Khamis.
Annie (kiri) menunjukkan restoran milik keluarganya yang terletak di Jalan Gajah Mati hangus dalam kebakaran, pada pagi Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebuah restoran berasaskan sayur-sayuran di Jalan Gajah Mati hangus dalam kebakaran, pada pagi Khamis.

Pengusaha Restoran Natural Vegetarian, Liew Annie, 25 berkata, ketika kejadian pada jam 10 pagi itu, hanya ibu bapanya masing-masing dikenali sebagai Liew Thong, 56 dan Leong Koy Chee, 54 berada di restoran berkenaan.

"Selepas menerima panggilan daripada bapa, saya bergegas pergi ke restoran yang terletak hanya lima minit dari rumah kami yang berdekatan Tambatan Diraja dan semasa sampai, saya tengok api tengah marak," katanya kepada Sinar Harian.

Annie memberitahu, dia ke restoran itu bersama adiknya, Liew Yuk Sang, 24.

"Api marak dengan cepat memandangkan siling restoran berasaskan kayu, selain mempunyai banyak perkakas elektrik yang terdiri daripada peti sejuk besar, pendingin hawa, ketuhar dan sebagainya.

"Duit tunai dalam mesin di kaunter restoran turut terbakar. Namun jumlah kerugian sebenar belum dipastikan,' katanya.

Tambah wanita itu, dia sangat bersyukur kerana ibu bapanya terselamat dalam kejadian itu.

"Mujur ibu yang ketika kejadian berada di dapur dan ayah di kaunter hadapan sempat keluar dari restoran untuk menyelamatkan diri. Saya bersyukur kerana mereka tidak cedera. Kebetulan juga pada masa kejadian, tiada pelanggan," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurut Annie, restoran berkenaan diusahakan keluarganya sejak 12 tahun lalu dan sudah mempunyai pelanggan tetap.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.57 pagi dan setibanya di lokasi kejadian, kebakaran tersebut sudah 100 peratus.

Menurutnya, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan lanjut.