Sudah lepas lebih 13.4 juta benih ikan, udang galah ke perairan Pahang

Sohaimi (tengah) dan Abdullah (kanan) melepaskan benih ikan lampam dan baung di sungai Pasir Puteri, pada Rabu.
Sohaimi (tengah) dan Abdullah (kanan) melepaskan benih ikan lampam dan baung di sungai Pasir Puteri, pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Lebih 13.4 juta benih ikan dan udang galah dilepaskan ke perairan umum di Pahang sejak tahun 2010.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Abdullah Jaafar berkata, pelepasan benih ikan dan udang galah itu bagi memperkayakan sumber perikanan sungai di negeri tersebut sekali gus untuk membantu meningkatkan pendapatan nelayan sungai.

"Selain di sungai utama seperti Sungai Pahang, Pekan; Sungai Jelai, Lipis dan Sungai Belat, pelepasan benih ikan juga dilakukan di tasik-tasik semula jadi," katanya kepada pemberita selepas program pelepasan benih ikan di Pasir Puteri, Sungai Lembing, di sini pada Rabu.

Dalam program yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Sohaimi Mohamed Shah itu, lebih 26,000 benih ikan lampam dan baung dilepaskan.

Turut diadakan penyerahan bantuan benih ikan tilapia kepada lapan penternak di kawasan Sungai Lembing yang terkesan akibat banjir pada tahun lalu.

Abdullah berkata, masyarakat setempat diharap memanfaatkan kekayaan sumber perikanan sungai secara lebih bertanggungjawab.

"Elakkan aktiviti penangkapan menggunakan peralatan yang boleh merosakkan sumber seperti tuba, letupan dan arus elektrik. Penggunaan peralatan dan bahan larangan berkenaan merupakan suatu kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) Pahang 1991. Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikompaun atau didakwa di mahkamah dengan hukuman denda dan peralatan dirampas," katanya.

Sementara itu, Sohaimi berkata, usaha Jabatan Perikanan Negeri Pahang melepaskan benih ikan dilihat dapat membantu merancakkan aktiviti memancing sebagai produk pelancongan di Pasir Puteri.

Artikel Berkaitan: