Covid-19: Rekod baharu 31,199 kes positif, 305 di ICU

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia merekodkan jangkitan kes Covid-19 tertinggi sejak pandemik melanda negara dengan 31,199 kes baharu pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 194 ke merupakan kategori tiga hingga lima dan 31,005 kes lagi adalah kategori satu serta dua.

"Daripada jumlah kategori tiga hingga lima, sebanyak 92 kes membabitkan pesakit berumur 60 tahun dan ke atas," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, 91 kes daripada kategori itu juga mempunyai komorbid dan tiga kes ibu mengandung.

"Sebanyak 45 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksin turut dijangkiti Covid-19 manakala 41 kes melibatkan pesakit telah menerima dos penggalak," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan 119 kes import membabitkan 69 rakyat tempatan dan 50 kes warga asing.

"Seramai 305 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 191 kes memerlukan bantuan mesin ventilator," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini adalah 3,305,157.

Artikel Berkaitan:

"Kes aktif merekodkan pertambahan sebanyak 10,745 kes menjadikan jumlah keseluruhannya, 277,829," katanya.

Ujarnya, terdapat 20,399 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhannya, 2,994,840 kes.

Sementara itu, 14 kluster baharu Covid-19 turut dikenal pasti KKM dan jumlah keseluruhannya 6,746 kluster.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 6,240 telah diisytiharkan tamat dan 506 lagi masih aktif," katanya.

Pada perkembangan sama, kadar kebolehjangkitan (Rt) negara berada pada nilai 1.13.

Bagaimanapun Labuan kekal mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.44 diikuti Sarawak 1.31.

Nilai Rt Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak masing-masing adalah 1.28, Perlis (1.26), Pulau Pinang (1.26), Pahang (1.24), Selangor (1.22), Kelantan (1.21), Sabah (1.20), Kedah (1.19), Kuala Lumpur (1.19), Melaka (1.12), Johor (1.11) dan Putrajaya (1.09).