Saiful teruja sahut cabaran bersama The Cops

Saiful Hasnol
Saiful Hasnol
A
A
A

SEGALA-galanya berubah pada pertengahan musim lalu buat pemain pertahanan PDRM FC, Saiful Hasnol apabila beliau hampir sahaja mengucapkan persaraan dalam dunia bola sepak profesional.

Namun pemain berusia 29 tahun ini sama sekali tidak menyangka kariernya masih mampu diteruskan sehingga mendapat peluang untuk terus beraksi sekali lagi dengan PDRM pada musim ini.

“Selepas UKM FC ditutup, saya hampir lima bulan tidak beraksi ekoran tiada mana-mana tawaran diterima sebaik musim 2021 bermula. Pada masa itu terfikir hendak bersara sebagai pemain profesional dan sudah mula mencari kerja tetap sebelum jurulatih Wan Rohaimi menghubungi saya.

“Tidak sangka peluang masih ada untuk saya teruskan karier dan biarpun sedikit bergelut pada awalnya, saya bersyukur kerana diberi banyak peluang untuk beraksi. Saya sangat teruja musim ini telah diberi lanjutan kontrak dan di bawah bimbingan Wan Rohaimi, saya rasa PDRM memang boleh menjadi pencabar bagi buru slot ke Liga Super.

“Walaupun kami tidak ada pemain bertaraf bintang, kekuatan pasukan ini terdiri daripada pemain muda yang begitu dahagakan kejayaan selain elemen kekeluargaan yang tinggi,” katanya.

The Cops yang sedang melalui persiapan pra musim telah mencatat beberapa keputusan memberangsangkan termasuk seri 2-2 dengan Sri Pahang FC dan menang 3-1 ke atas Selangor FC 2.

Selain bermain dengan UKM pada 2018 dan 2019, Saiful juga pernah beraksi bersama Sime Darby FC sepanjang pembabitan kariernya di Liga Malaysia.

Dalam pada itu, pemain produk Piala Presiden Selangor berkenaan mengakui pengalamannya di bawah Wan Rohaimi sebagai sesuatu yang sangat positif dalam karier.

Artikel Berkaitan:

“Satu perkara yang saya suka mengenai corak latihan Wan Rohaimi ialah pendekatan yang berteraskan bola sepak moden. Jika sebelum ini saya asyik ditekankan aspek untuk berlari sahaja semasa latihan tetapi di PDRM, beliau lebih menekankan aspek pemain sentiasa berlatih dengan bola.

“Sesi latihan kami tidaklah terlalu panjang atau terlalu sekejap tetapi amat ampuh serta memberikan kesan kepada pemain. Ini satu perkara yang baik kepada perkembangan pemain-pemain muda di sini dan saya sendiri rasa teruja menerap banyak ilmu baharu yang beliau terapkan.

“Saya juga diminta oleh Wan Rohaimi untuk beri bimbingan kepada pemain-pemain muda di dalam pasukan dan terharu dengan kepercayaan jurulatih,” katanya.