PBMM mampu laksana transformasi

Hamidin ketika menerima kunjungan Firdaus dan ahli-ahli majlis PBMM. FOTO: Football Association of Malaysia
Hamidin ketika menerima kunjungan Firdaus dan ahli-ahli majlis PBMM. FOTO: Football Association of Malaysia
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) mampu melaksanakan transformasi persatuan itu untuk bergerak lebih maju pada masa depan berdasarkan semangat perpaduan dalam kalangan ahli gabungannya.

Malah menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, PBMM perlu memperbanyakkan program serta aktiviti untuk dimanfaatkan ahli persatuan dalam era zaman teknologi moden ketika ini.

“Penganjuran agenda sedia ada dan tahunan PBMM iaitu Piala Emas Raja-raja dan Piala Agong sudah menjadi ‘trademark’ dan masih bertahan hingga kini, bukan mudah untuk mengekalkan usaha ini dan ia wajar dipuji, syabas saya ucapkan. Namun program seumpama itu perlu dipertingkatkan lagi.

“Lantaran itu, komitmen di setiap peringkat penting dalam bekerjasama memperkasakan lagi PBMM dengan program-program antaranya membabitkan kejurulatihan dan akar umbi,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada PBMM di Wisma FAM pada Rabu.

Kunjungan diketuai Presidennya, Mohd Firdaus Mohamed dan ahli-ahli majlis PBMM sejurus selepas sesi mesyuarat exco PBMM di Wisma FAM.

Sementara itu, Firdaus berkata, tunjuk ajar dari badan induk FAM penting untuk persatuan memperkasakan lagi bola sepak Malaysia.

“Selari dengan saranan Datuk Presiden, kami sememangnya akan membantu FAM dalam memperbanyakkan program sekaligus mempergiatkan lagi usaha mencari bakat-bakat baru untuk FAM,” katanya.

Piala Malaysia/Malaya sudah memasuki ulang tahun ke-100 manakala kejohanan bola sepak sebayanya, Piala Emas Raja-raja anjuran PBMM turut mencecah angka usia sama.

Artikel Berkaitan: