Prosiding bela diri Rosmah selesai

Rosmah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding bela diri terhadap pertuduhan kes rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion berlangsung, pembelaan menutup kesnya pada Rabu.
Rosmah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding bela diri terhadap pertuduhan kes rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion berlangsung, pembelaan menutup kesnya pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Selepas 42 hari prosiding bela diri Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini yang dituduh atas kes rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion berlangsung, pembelaan menutup kesnya pada Rabu.

Ia sejurus mahkamah mendengar keterangan saksi pembelaan terakhir, bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, 73.

Peguam, Datuk Jagjit Singh yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu berkata, pembelaan menutup kesnya.

Susulan itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 5 April depan untuk mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Menurutnya, pendakwaan perlu memfailkan hujahan bertulis pada 9 Mac manakala 30 Mac untuk hujahan balasan daripada pasukan pembelaan.

“Jadi ia mengakhiri prosiding kes yang dijalankan selama 42 hari termasuk beberapa kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa dengan 25 saksi dipanggil memberi keterangan.

“Saya akan memperuntukkan sepanjang hari untuk mendengar hujahan dan saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak di atas bantuan sepanjang perbicaraan ini berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, hakim Mohamed Zaini menolak permohonan Rosmah untuk memanggil semula saksi utama,Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihak pembelaan gagal mengemukakan alasan yang sah, bagi membolehkan mahkamah untuk memanggil semula saksi pendakwaan ke-17 itu.

"Tindakan memanggil semula saksi berdasarkan alasan yang diberikan oleh pihak pembelaan, seakan meletakkannya kepada satu lagi pemeriksaan balas mengenai subjek yang saya sudah tangani sepenuhnya.

"Oleh itu, permohonan pihak pembelaan ditolak," katanya.

Rosmah, 71, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khasnya, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah itu bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan (KPM).