'Saya sangat terdesak, buntu'

Keadaan ibu Diwiyana yang terlantar mendapat keprihatinan warga IPD Hilir Perak yang membuat kunjungan ziarah pada Rabu.
Keadaan ibu Diwiyana yang terlantar mendapat keprihatinan warga IPD Hilir Perak yang membuat kunjungan ziarah pada Rabu.
A
A
A

TELUK INTAN - Buntu dan berada dalam keadaan terdesak membuatkan seorang wanita di sini nekad meluahkan rasa kekecewaannya terhadap permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hingga videonya tular di media sosial sejak Selasa.

Diwiyana Mohammed, 37, dari Parit 1A, Sungai Manik di sini bertindak sedemikian kerana keadaan dirinya yang sudah kehabisan wang simpanan untuk menguruskan keperluan ibunya yang terlantar sakit.

Ibunya, Selamah Hamid, 73, mengalami lumpuh sejak enam tahun lalu hanya menggunakan lampin pakai buang dan minum susu khas serta memerlukan kelengkapan pembersihan yang lain.

"Saya berada dalam keadaan sangat terdesak dan di jalan buntu, sebab itu saya nekad buat video berkenaan.

"Semua ini demi emak kerana sudah lama kami menunggu permohonan untuk diluluskan, apatah lagi sekarang lampin pakai buang sudah habis, duit simpanan pun tiada.

"Lampin emak tidak boleh lambat ditukar, jika tidak dia akan buka lampin sendiri dan bermain dengan najisnya. Sebab itu, saya terdesak dan buntu apabila permohonan bantuan masih belum diterima," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Diwiyana berkata, akibat kesempitan wang, dia terpaksa memecah tabung syiling anaknya dua minggu lalu, namun hanya mampu memperoleh RM16.

Dia berkata, ikhtiar terakhir mahu dilakukan adalah dengan meminta bantuan dari rumah ibadat agama lain.

Artikel Berkaitan:

"Hanya mereka pernah menjaga orang sakit saja tahu situasi ini.

"Tambahan pula saya mempunyai masalah anxiety teruk dan tekanan perasaan, ikutkan nasihat doktor saya tidak sesuai untuk menjaga emak, tetapi saya tetap mahu menjaganya kerana adik beradik lain juga tidak berkemampuan," katanya.

Diwiyana bersama suami, Taufiq Ikhmal Mohd Yusuf, 25, ibu dan enam anak termasuk tiga daripada perkahwinan terdahulu sebelum ini tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dan berpindah ke Sungai Manik dua tahun lalu.

Katanya, sejak berpindah dia dan suami menampung hidup dengan berniaga burger dan memperoleh pendapatan harian tidak menentu sekitar RM20 hingga RM100 sahaja.

Jelasnya, sebelum ini dia menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM350 sebagai penjaga ibu yang terlantar dan telah memaklumkan perpindahan kepada jabatan berkaitan di sana.

"Saya hantar borang permohonan baru kepada JKM di sini selepas berpindah, tetapi borang pertama dikatakan hilang.

"Saya hantar sekali lagi Januari lepas dan sehingga sekarang masih belum ada jawapan, permohonan kepada Baitulmal pula baru dikemukakan bulan ini.

"Alhamdulillah selepas video itu tular ramai yang membantu, termasuk JKM dan Baitulmal sendiri yang datang menemui kami untuk tindakan lanjut," katanya.

Diwiyana sebelum itu menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri yang hadir bersama kaunselor dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam IPD Hilir Perak sebagai sokongan terhadap keluarga itu.

Ahmad Adnan turut menyampaikan bantuan berupa keperluan dapur dan lampin pakai buang bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Klip video berdurasi tiga minit itu telah dimuat naik di aplikasi TikTok Dyana Mohammed mendakwa sudah dua tahun memperjuangkan bantuan untuk ibunya selain mempersoalkan berapa lama yang perlu ditunggu untuk mendapatkan bantuan.