Jurujual maut kereta bertembung lori

Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduknya. - Foto: ihsan JBPM Perak.
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduknya. - Foto: ihsan JBPM Perak.
A
A
A

BUKIT GANTANG - Seorang jurujual maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 8, Jalan Sitiawan - Taiping berhampiran Trong di sini pada Rabu.

Dalam nahas itu, mangsa, Fikri Birullah Firdaus, 35, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, maklumat awal diterima daripada orang awam jam 11.25 pagi berhubung kemalangan membabitkan dua kenderaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 49 tahun itu dalam perjalanan dari arah Trong ke Parit Buntar.

"Semasa meneruskan perjalanan, tiba-tiba kereta yang datang dari arah bertentangan masuk ke laluannya menyebabkan kenderaan berat itu tidak sempat mengelak lalu berlaku pertembungan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa cedera di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Osman berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Taiping dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat kemalangan itu.

Artikel Berkaitan:

Nahas membabitkan sebuah kereta dan lori menyebabkan seorang jurujual maut di tempat kejadian di Trong, Taiping pada Rabu. - Foto: ihsan JBPM Perak
Nahas membabitkan sebuah kereta dan lori menyebabkan seorang jurujual maut di tempat kejadian di Trong, Taiping pada Rabu. - Foto: ihsan JBPM Perak

"Pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada tangkapan dilakukan. Polis telah menghubungi waris mangsa dan kenderaan ditahan bagi pemeriksaan Puspakom.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 11.14 pagi.

"Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta tersepit di tempat duduknya dengan terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat," katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.